Tun M persoal sama ada Najib bahagi adil kek ekonomi

Dr Mahathir mengulas mengenai analogi kek untuk ekonomi yang digunakan Najib sewaktu berhujah pada Debat Perdana Khamis lalu.
Dr Mahathir mengulas mengenai analogi kek untuk ekonomi yang digunakan Najib sewaktu berhujah pada Debat Perdana Khamis lalu.
A
A
A

LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memastikan kek ekonomi dibahagi adil ketika memegang tampuk pemerintahan negara.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau tertanya-tanya adakah Ahli Parlimen Pekan ada melakukan perkara itu sewaktu menjadi Perdana Menteri.

“Saya ditutup, tidak boleh bercakap, ditutup dan macam-macam lagi. Itu bukan pembahagian sama rata.

“Masa dia (Najib) jadi Perdana Menteri tak ada sama rata. Sekarang ini bila tak jadi Perdana Menteri (kata) mesti sama rata,” katanya ketika mengulas analogi kek ekonomi digunakan Najib pada Program Debat Perdana pada Khamis lepas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk, Pantai Chenang di sini, pada Isnin.

Sewaktu berhujah pada program Debat Perdana yang turut menampilkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib menggunakan analogi kek untuk ekonomi, yang mana kerajaan harus membesarkan kek sebelum kek dihiris kepada rakyat.

"Bagi mengembangkan kek kita, jangan jual aset. Kalau jual, seolah-olah ketuhar pun kita jual.

"Dahulu, kita mempunyai hasil besar daripada GST (cukai barang dan perkhidmatan). Kalau hari ini ada GST, kita ada hasil tambahan RM30 bilion untuk beri subsidi kepada nelayan, pekebun kecil," katanya.