X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Mencuri ketika beraya, kanak-kanak berbaju merah minta maaf

Kanak-kanak yang didakwa mencuri sewaktu datang beraya seperti tular di media sosial pada Ahad. Gambar kecil: Norfatin
A
A

BANTING - Sekumpulan sembilan kanak-kanak sedondon berbaju merah yang didakwa mencuri sewaktu datang beraya seperti tular di media sosial pada Ahad telah tampil membuat permohonan maaf kepada mangsa.

Mangsa, Norfatin Mat Tahia menerusi siaran langsung di Facebook pada Isnin memberitahu, kanak-kanak berkenaan bersama ibunya telah datang semula ke rumahnya di Bukit Changgang di sini pada Isnin sejurus kisah mereka tular.

Menurutnya, mereka memohon entri berhubung kejadian tersebut dipadamkan dan kes tersebut diselesaikan secara baik.

"Benda ini sudah selesai dan tidak mahu diperbesarkan kerana ada antara mereka mahu duduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

"Sesi siaran langsung ini tidak bertujuan apa-apa, cuma nak betulkan keadaan, nak beritahu mereka dah datang minta maaf.

"Lepas tular semalam mereka tak boleh keluar rumah dan pemilik rumah arahkan mereka keluar dari rumah sewa," katanya pada sesi siaran langsung di Facebooknya pada Isnin.

Pada Ahad, Norfatin berkongsi kisah rumahnya didatangi sembilan kanak-kanak yang didakwa sempat menyelongkar beg tangan di rumah itu dan mengambil sampul raya.

"Mula-mula kami tak perasan, lepas budak-budak ini balik, tengok sampul duit raya dah hilang. Kami jumpa sampul duit raya itu dalam bilik air tapi dah kosong. Baru teringat budak-budak itu guna bilik air tadi.

"Masa budak-budak itu beraya, banyak soalan ditanya seperti dalam rumah ada siapa dan ada berapa bilik dalam rumah ini," memetik kisah dikongsikan di Facebooknya pada Ahad.

Norfatin memaklumkan, jumlah wang yang diambil oleh kanak-kanak tersebut tidak banyak namun tindakan mencuri ketika usia kecil membimbangkannya.

Jelasnya, permintaan kanak-kanak berkenaan untuk memadamkan entri berkenaan kisah tular itu akan dilakukan selepas penjelasan lanjut mengenai kejadian tersebut dilakukan.

"Saya akan padam entri tersebut namun sebelum itu saya perlu buat pembetulan dan tidak boleh terus padam begitu sahaja. Nanti orang akan cakap saya menipu dan sengaja memalukan mereka.

"Saya datang ke sini (rumah kanak-kanak berkenaan) untuk membetulkan keadaan dan akan kongsi gambar mereka datang minta maaf kemudian baru saya boleh padamkan entri asal," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor ketika diminta pengesahan berkenaan kejadian itu memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan isu itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!