Pindaan tunjukkan UMNO tidak hormati perlembagaan: Tun M

Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk dekat Pantai Chenang di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk dekat Pantai Chenang di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI – UMNO didakwa tidak menghormati perlembagaan parti apabila meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad turut mempersoalkan tempoh penangguhan pemilihan berkenaan.

“Mereka tahu kalau ada pemilihan akan berpecahlah UMNO. Jadi, mereka ambil jalan senang mempengaruhi kerajaan supaya tangguh pemilihan.

“Ini kalau dalam jangka pendek tak apalah. Ini sampai berapa bulan hendak tangguh. Itu bermakna kita tidak menghormati perlembangaan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk, Pantai Chenang di sini, pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian ketika diminta mengulas usul pindaan perlembagaan UMNO untuk menangguh pemilihan parti lulus bagi membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Ahad sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain memboleh pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas PRU.