X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Tiada kompromi jika sekolah sorok kes buli: KPM

BACHOK, 16 Mei -- Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Md Jidin menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok hari ini. - Foto Bernama
A
A

BACHOK - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak pentadbiran atau pengurusan sekolah yang cuba menyorokkan kejadian buli jika berlaku di institusi pendidikan itu.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihak sekolah sebaliknya diminta lebih telus melaporkan maklumat atau kejadian berkaitan buli bagi membantu menyelesaikan masalah.

Katanya, pihak sekolah tidak boleh menyorokkan kes buli yang berlaku termasuk di asrama dan pihaknya mengambil perhatian serius terhadap perkara itu.

“Jika ada sekolah yang cuba sorokkan kes buli, kami tidak akan berkompromi atau bertoleransi, sama juga pada pihak yang cuba menutup kes, KPM akan ambil tindakan.

“Kita perlu telus dalam melaporkan kejadian buli bagi memberi kesedaran kepada anak-anak supaya mereka ini mempunyai sikap yang empati dan kasihan kepada rakan-rakan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini pada Isnin.

Hari guru tahun ini bertemakan Guru Tunjang Sekolah Sejahtera.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Mengulas lanjut, KPM memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk menyelesaikan isu buli dan penting untuk menerapkan nilai kasih sayang antara pelajar di sekolah.

“Sepanjang pandemik, interaksi anak-anak menjadi terhad dan persekolahan bersemuka yang kembali bermula ini akan membolehkan mereka lebih banyak berinteraksi serta bergaul dengan lebih baik,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, polis menerima tiga laporan berkait kejadian pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di Nilai yang dipercayai dicederakan pelajar senior.

Tiga pelajar berusia 14 tahun itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana kecederaan di beberapa bahagian badan.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan dan tersentuh hati dengan pengorbanan para guru yang tetap berdedikasi serta teguh bersama kementerian dalam menguruskan operasi persekolahan sewaktu penularan pandemik Covid-19.

“Tanpa komitmen dan kerjasama terbaik daripada semua warga pendidik, adalah mustahil bagi saya untuk melaksanakan tanggungjawab memimpin kementerian serta memastikan sistem pendidikan negara terus berjalan lancar.

“Kita melalui tempoh yang amat sukar semasa pandemik Covid-19 yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga terpaksa merangka semula sistem pendidikan dengan mengeluarkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang berjaya dipatuhi seluruh warga KPM,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!