Tindakan pantas Sultan Perak leraikan kontroversi: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih tindakan pantas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam meleraikan keresahan rakyat dan memelihara integriti institusi Islam, susulan isu membabitkan Datuk Dr Afifi al-Akiti yang terpalit dengan kontroversi baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut membuktikan ketegasan baginda dalam memastikan institusi Islam dan Istana tidak dicemari.

“Saya ikuti perkembangan pengunduran menjawat gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Orang Besar Delapan Negeri Perak merangkap Penasihat Rasmi Sultan Perak dalam Hal Ehwal Islam daripada Datuk Dr Afifi al-Akiti, yang diulit kontroversi baru-baru ini.

“Menjunjung kasih atas kepantasan Tuanku Sultan Perak dalam meleraikan keresahan rakyat dan memelihara integriti institusi Islam.

“Ia juga membuktikan ketegasan Duli Tuanku dalam memastikan institusi Islam dan Istana tidak dicemari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Pada Ahad, Sultan Nazrin perkenan menerima permohonan perletakan jawatan Dr Afifi yang menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan.

Dalam warkah berkenaan, Dr Afifi menjelaskan, bahan-bahan yang ditularkan di media sosial sejak dua minggu lalu bertujuan mencemarkan nama beliau dan dilihat mempertikaikan kesesuaian peranan beliau dengan institusi istana dalam hal ehwal agama Islam.

Justeru katanya, warkah berundur diri daripada menyandang gelaran itu disampaikan sebagai menginsafi perkara itu jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan darjat kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana.

Pada 2 Mei lalu, pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Zaharin Mohd Yasin memuat naik tangkapan layar daripada video berdurasi tiga minit 24 saat itu memaparkan imej seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi yang diapit oleh dua orang wanita di sebuah kelab malam.

Lelaki berkenaan didakwa merupakan salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam.