Nurul Izzah tetap akan berbakti walaupun bukan wakil rakyat

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bercakap pada media di Parlimen hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bercakap pada media di Parlimen hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yakin meskipun tidak lagi menjadi wakil rakyat pada penggal akan datang, beliau akan tetap menyumbang khidmat baktinya kepada negara.

Menurutnya, keputusan tersebut akan dibuat apabila masanya tiba nanti.

“Saya sangat ingin menyumbang khidmat bakti kepada negara dan masyarakat dengan sebarang cara yang boleh saya lakukan.

“Sebab itu saya bertanding dalam pilihan raya. Saya yakin dan percaya kita boleh melakukan perubahan dengan pelbagai cara,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau turut memberitahu, sepanjang tempoh berada dalam politik dan kerajaan banyak perkara telah dipelajarinya termasuk sektor pembangunan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh ramal situasi masa depan. Apabila tiba masanya, saya akan buat keputusan,” jelasnya.

Minggu lalu memberi bayangan tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang kerana kecewa dengan “langkah perlahan” pentadbiran PH.

Selain itu, Nurul Izzah juga melepaskan jawatan anggota dalam ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Malah, pada Disember tahun lalu, beliau melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, struktur PAC perlu diletakkan pada tempat yang sepatutnya harus berperanan sebagai pemantau dan perisai menentang segala bentuk ketirisan.

“PH harus meneliti kemungkinan wujud ketirisan dalam badan eksekutif, dan PAC adalah fungsi utama dalam usaha mengenal pasti dan menangani perkara tersebut.

“Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, malah saya sangat menghormatinya, namun pada akhirnya kita mesti mementingkan struktur.

“Ini bukan masalah individu, tetapi siapa yang mendudukinya. Struktur harus diutamakan untuk menentang segala ketirisan,” katanya.