50 guru terima hadiah kain batik sempena Hari Guru

Mohd Irwanshah memberi kotak hadiah berupa kain batik kepada gurunya sempena Hari Guru pada Isnin.
Mohd Irwanshah memberi kotak hadiah berupa kain batik kepada gurunya sempena Hari Guru pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sambutan Hari Guru tahun ini memberi pengalaman berbeza buat lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Panji Alam apabila berpeluang memberi hadiah istimewa buat guru mereka.

Semua murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) itu mendapat tajaan kotak hadiah berupa kain batik untuk disampaikan kepada 50 guru masing-masing sempena Hari Guru yang disambut pada Isnin.

Pelajar Tingkatan Lima, Siti Nurshuhadah Hashim, 17, dari Kampung Gong Gemia, di sini meluahkan rasa gembira apabila diberi peluang menghargai guru-guru yang selama ini mendidik dan mengajarnya di sekolah.

"Dulu pernah juga beri hadiah seperti pen kepada cikgu sempena Hari Guru, tapi sekarang sudah lama saya tidak beri apa-apa kerana tidak berkemampuan.

"Saya gembira, selepas dua tahun belajar dalam suasana baharu kerana pandemik Covid-19, saya berpeluang menghargai cikgu-cikgu sebelum menamatkan sekolah," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Siti Nurshuhadah, anak bongsu daripada dua beradik yang kehilangan bapa, Hashim Sulaiman pada Disember lalu kerana serangan jantung bercita-cita mahu menjadi seorang doktor.

Seorang lagi pelajar, Mohd Irwanshah Mohd Shahril, 13, berkata, hadiah tersebut akan diberikan kepada 10 guru yang selama ini mendidiknya dalam pelbagai mata pelajaran seperti Matematik, Sains dan Pendidikan Seni dan Visual.

"Syukur saya terpilih menerima tajaan ini. Hadiah ini adalah secebis penghargaan buat cikgu-cikgu yang tidak pernah jemu mendidik pelajar supaya menjadi insan berjaya sekali gus mencapai impian dan cita-cita kami," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Noor Arfa Batik, Wan Farhana Wan Tazilah berkata, seramai lima pelajar SMK Megat Panji Alam terpilih menerima tajaan kain batik untuk diberikan kepada 10 guru masing-masing sebagai penghargaan buat mereka bergelar pendidik.

"Ini merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dalam membantu murid-murid kurang berkemampuan mencapai impian untuk menghargai guru mereka sempena Hari Guru," katanya.