Kapal udara China pecah rekod dunia

Kapal udara terapung (floating airship) Jimu No.1 (model III) yang dibangunkan China sepenuhnya berjaya terapung pada ketinggian 4,300 meter tepat pukul 1.26 awal pagi Ahad. - Foto Bernama
Kapal udara terapung (floating airship) Jimu No.1 (model III) yang dibangunkan China sepenuhnya berjaya terapung pada ketinggian 4,300 meter tepat pukul 1.26 awal pagi Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Kapal udara terapung (floating airship) Jimu No.1 (model III) yang dibangunkan China sepenuhnya berjaya berlepas dari pangkalan ekspedisi saintifik kapal udara terapung pada ketinggian 4,300 meter tepat pukul 1.26 awal pagi Ahad.

Pada 4.40 pagi, kapal itu sudah melepasi ketinggian 9,032 meter, iaitu lebih tinggi berbanding ketinggian Gunung Qomolangma (Everest) yang setinggi 8848.86 meter.

Dengan catatan itu ia sekali gus memperbaharui rekod pemerhatian sains atmosfera kapal udara terapung dunia.

Jurutera Kanan Institut Inovasi Maklumat Aeroangkasa Akademi Sains China, He Zeqing, berkata penerbangan kapal udara terapung setinggi itu adalah yang pertama bagi China dan di dunia.

"Data yang dikumpul kapal udara itu amat berharga untuk mengkaji kesan persekitaran ekologi di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet terhadap gas rumah hijau dan perubahan iklim.

"Pada masa depan China akan menggabungkan model sistem Bumi dan kaedah analisis data raya untuk menganalisis sumber serta mekanisme penyingkiran gas rumah hijau di dataran itu, selain menyediakan asas saintifik untuk merealisasikan puncak karbon dan neutral karbon di China,” katanya. - Bernama