Tun M bukan diktator, beliau tegas: Abdul Hadi

A
A

Tun M bukan diktator, beliau tegas: Abdul Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memperbetulkan dakwaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang melabel Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bekas diktator.

Beliau yang ditemui media di Dewan Rakyat berkata Tun Mahathir bukan diktator, beliau tegas kerana beliau dipilih secara demokratik dalam pilihan raya dan PH yang pilih beliau sebagai Perdana Menteri, bukan beliau lantik diri sendiri.

Katanya, tegas itu sesuatu yang perlu bagi pemimpin, dan Mahathir perlu tegas menghadapi ahli Kabinet yang lemah.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggelarkan Dr Mahathir sebagai bekas diktator pada sesi wawancara bersama Straits Times Singapura, baru-baru ini.

Inkues Adib: Pakar Forensik sedih dikecam gara-gara Cik Miera

Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) meluahkan rasa sedih selepas membaca hantaran komen pemilik akaun Facebook bernama 'Cik Miera' berhubung keterangannya dalam prosiding Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya mahkamah memanggil individu yang dikenali sebagai Cik Miera untuk memberi keterangan.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 kali memberi keterangan di mahkamah berhubung pelbagai kes kematian berkata, setiap pemeriksaan bedah siasat dan klinikal yang dijalankan telah didokumenkan.

Jumaat lalu, Cik Miera meninggalkan hantaran di ruangan komen berita atas talian berhubung kecederaan yang dialami Muhammad Adib.

Dalam hantaran itu, Cik Miera yang mengaku sebagai kakitangan IJN yang terlibat merawat Muhammad Adib, tidak bersetuju dengan keterangan Ahmad Hafizam yang mengatakan bahawa kecederaan anggota bomba itu tidak bersepadanan dengan cedera akibat dipukul.

Bekas pengarah AIAC berdepan 3 dakwaan pecah amanah RM1.1 juta

Bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), N Sundra Rajoo dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini atas 3 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM1.1 juta.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki berusia 63 tahun itu didakwa menyalahgunakan dana pusat sebanyak RM89,700.

Bagi pertuduhan ke-2 dan ke-3, tertuduh didakwa menyeleweng lebih 600,000 dan lebih RM300,000.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di premis AIAC di Jalan Sultan Hishamuddin antara 8 Disember 2018 hingga 17 Ogos tahun lalu.

Tiada aset Tabung Haji dicairkan

Semua aset milik Lembaga Tabung Haji bernilai RM19.9 bilion yang dipindahkan kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik kerajaan tidak pernah dicairkan.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata SPV menjalankan proses rehabilitasi terhadap aset yang dipindahkan melalui strategi penstrukturan semula itu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Awang Hashim, Ahli Parlimen Pendang, di Dewan Rakyat hari ini yang ingin mengetahui sama ada aset Tabung Haji yang dipindahkan kepada SPV dicairkan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Awang mengenai siapa yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif SPV, Mujahid berkata SPV dikenali sebagai Urus Harta Jemaah Sdn Bhd terdiri daripada mereka yang berpengalaman.

Wang kertas RM60 tidak ganti RM50

Wang kertas sekeping RM60 tidak akan menggantikan wang kertas RM50 kerana ia hanya dikeluarkan dalam kuantiti yang terhad iaitu sebanyak 60,000 keping sahaja.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, wang kertas RM60 yang tular baru-baru ini adalah seperti diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Disember 2017 untuk mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau sehubungan itu menegaskan bahawa desas-desus berkenaan adalah tidak benar.

Kata beliau, wang kertas sekeping RM60 sah digunakan tetapi lebih baik sekiranya ia disimpan, mungkin lagi lama, nilainya akan menjadi lebih tinggi.