Pendaki hanyut: Bahagian badan pula ditemui

Bahagian tubuh badan mangsa ditemukan dalam timbunan tanah di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai. Foto: ihsan JBPM Perak
Bahagian tubuh badan mangsa ditemukan dalam timbunan tanah di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai. Foto: ihsan JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Bahagian kedua badan manusia dijumpai pasukan penyelamat dalam operasi mencari dua pendaki yang hilang dihanyutkan kepala air di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, bahagian atas badan berkenaan ditemui dalam timbunan kayu pokok kira-kira jam 10.20 pagi.

"Bahagian tubuh mangsa itu dijumpai dalam timbunan tanah selepas sejam pasukan memulakan operasi mencari dan menyelamat.

"Penemuan itu melibatkan separuh badan bahagian atas itu dibawa turun oleh Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM)," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pos Atap Baru di sini pada Isnin.

Menurut Muhamad Shahrizal, pihaknya belum dapat mengesahkan bahagian badan itu saling berkaitan dengan kaki kiri yang ditemukan sebelum ini.

"Bahagian tubuh itu ditemui kira-kira 250 hingga 300 meter dari bahagian kaki yang ditemui semalam.

"Beberapa lokasi telah dikenal pasti di sepanjang aliran sungai tersebut. Bagaimanapun keadaan hujan lebat menyukarkan operasi," katanya.

Katanya, tiada petunjuk baharu ditemui setakat ini.

Operasi hari kedua turut melibatkan pasukan elit JBPM iaitu Unit Must Team dan K9 selain dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sinar Harian melaporkan pasukan penyelamat menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku.

Bahagian kaki kiri itu ditemui oleh STORM yang ditugaskan untuk mengesan kedua-dua mangsa kira-kira jam 5.05 petang pada Ahad.

Anggota badan itu dijumpai dalam jarak 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum hilang.