Selangor kumpul maklumat cegah penularan HFMD

Amirudin dan Gunaraj (berdiri, tengah) bersama ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja sempena Majlis Mesra Aidilfitri 2022 dan Rapat Umum #KitaSemuaKeadilan Aspirasi Kota Raja, pada Isnin.
Amirudin dan Gunaraj (berdiri, tengah) bersama ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja sempena Majlis Mesra Aidilfitri 2022 dan Rapat Umum #KitaSemuaKeadilan Aspirasi Kota Raja, pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang mengumpul maklumat untuk mencegah penularan jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan seterusnya akan diambil selepas semua maklumat berkaitan penyakit itu dikumpul.

"Esok atau lusa saya akan dapatkan maklumat terkini dan mengambil tindakan seterusnya untuk mengelak penyakit (HFMD) ini terus merebak dengan tinggi di Selangor," katanya kepada pemberita sempena Majlis Mesra Aidilfitri 2022 dan Rapat Umum #KitaSemuaKeadilan Aspirasi Kota Raja di Dewan Tulip Majlis Bandaraya Shah Alam Bukit Naga di Seksyen 32, pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan penularan jangkitan penyakit HFMD dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun di Selangor sudah melebihi paras amaran.

Sejumlah 6,748 kes direkodkan setakat 7 Mei lalu, membabitkan penularan dalam kalangan 118 kluster dengan 95 peratus daripadanya adalah tadika, taska serta pusat jagaan harian kanak-kanak.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dilaporkan berkata, tren penyakit HFMD dalam kalangan kanak-kanak di Selangor meningkat secara berterusan sejak awal tahun hingga kini.