Polis siasat laporan kemalangan libat kenderaan pengiring

Video tular di laman sosial mengenai dakwaan kemalangan membabitkan kenderaan polis yang sedang mengiringi orang kenamaan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Video tular di laman sosial mengenai dakwaan kemalangan membabitkan kenderaan polis yang sedang mengiringi orang kenamaan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan sebuah video tular mengenai dakwaan kemalangan membabitkan kenderaan seorang pemilik akaun TikTok dengan kenderaan polis yang sedang mengiringi orang kenamaan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di sini pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kedua-dua pemandu kenderaan terlibat telah tampil membuat laporan polis.

"Satu siasatan sedang dijalankan. Kita meminta kerjasama saksi yang melihat kejadian tersebut untuk hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi tujuan membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat juga boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, polis telah mengesan satu video tular berdurasi 1 minit 45 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok memaparkan kenyataan pengadu telah terlibat dengan kemalangan tersebut.