Maut motosikal terbabas ketika nak ambil kasut futsal

Gambar lokasi kemalangan tular di media sosial.
Gambar lokasi kemalangan tular di media sosial.
A
A
A

GOMBAK - Seorang remaja lelaki maut ketika dalam perjalanan mahu mengambil kasut sukan selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Batu 8 Jalan Gombak Lama di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian pada 8.45 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Batu 10.

"Mangsa hendak bermain futsal di Titiwangsa. Ketika sampai di Batu 7, mangsa berpatah balik ke Batu 10 kerana tertinggal kasut futsal.

"Dalam perjalanan pulang ke Batu 10, mangsa telah hilang kawalan disebabkan jalan basah sebelum terbabas dan terjatuh di lorong bertentangan," katanya dalam kenyataan.

Zainal Mohamed berkata, kemudian sebuah kereta Myvi tidak sempat mengelak terus melanggar mangsa.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian serta dibawa ke forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.