[VIDEO] Bapa mangsa buli ingatkan kes biasa, tak sangka libat kecederaan

Noor Azmi (tengah) dan Ahmad Fauzi (kanan) menunjukkan laporan polis dan gambar kecederaan yang dialami anak mereka pada sidang akhbar di sebuah restoran di Seremban pada Isnin.
Noor Azmi (tengah) dan Ahmad Fauzi (kanan) menunjukkan laporan polis dan gambar kecederaan yang dialami anak mereka pada sidang akhbar di sebuah restoran di Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Dua bapa kepada pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa buli pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh di Labu di sini, meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius kes terbabit.

Noor Azmi Mohd Nor, 44, berkata, kebanyakan ibu bapa kesal kerana kejadian itu tidak dimaklumkan segera oleh pihak sekolah kepada ibu bapa.

Dakwanya, pihak sekolah juga dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan kes itu dan langsung tidak membantu.

"Anak saya cedera pada kaki tangan dan betis. Kesannya dia juga alami kesesakan nafas dan trauma untuk ada di sekolah, takut senior buli lagi.

"Kita hantar anak ke sekolah nak mereka belajar tapi lain pula jadinya dan saya juga difahamkan kes ini bukan kali pertama berlaku," katanya pada sidang akhbar diadakan di sebuah restoran pada Isnin.

Ujarnya, jika ibu bapa tidak membuat laporan polis atau datang ke sekolah melihat keadaan anak, kemungkinan kes itu tidak akan diketahui.

Ahmad Fauzi Md Sood, 50, pula berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu menerusi perbualan ibu bapa di kumpulan WhatsApp sekolah.

Menurutnya, pada awalnya menyangka ia hanya kes biasa tetapi rupa-rupanya melibatkan kecederaan dan anaknya pula salah seorang mangsa.

"Anak saya pun hanya ceritakan hal sebenar apabila saya paksa dan saya terus buat keputusan mengambilnya di sekolah dan membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.

"Saya bersyukur kerana tiada kecederaan serius namun keadaan dia sedikit trauma," katanya.

Ujarnya, tindakan membuat laporan polis bukannya mahu merosakkan masa depan pelajar terlibat tetapi demi kepentingan pelajar-pelajar sekolah itu keseluruhannya, begitu juga dengan sidang media yang diadakan bukan bertujuan memburukkan nama baik sekolah.

"Dua anak saya yang lain pun saya hantar sekolah asrama tapi tidak ada kes buli begini.

"Tapi saya tak sangka anak ketiga masuk asrama jadi mangsa buli. Kalau buli biasa itu biasalah tapi bila menggunakan objek itu ia memang tak boleh diterima," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, tiga pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah berasrama penuh di sini terpaksa menerima rawatan di HTJ selepas dipercayai dibuli pelajar senior.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, polis telah menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu pada Sabtu.

Kesemua mangsa mendakwa telah dipukul oleh pelajar lebih senior dipercayai Tingkatan Empat sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan.

"Disebabkan itu mangsa terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di HTJ," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, polis telah pun mengenal pasti dua pelajar senior yang dipercayai boleh membantu siasatan dalam kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan masih ada lagi pelajar lain terlibat.

Bagaimanapun katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun.

"Sehubungan itu masyarakat dinasihatkan tidak memanipulasi kejadian yang boleh menyebabkan kegusaran awam sehingga hasil siasatan lengkap diperoleh," ujarnya



Ibu bapa kepada pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa buli pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh di Labu, Seremban, Negeri Sembilan meminta Kementerian Pendidikan memandang serius kes terbabit, lapor wartawan Sinar Harian Syamilah Zulkifli.

Noor Azmi Mohd Nor, 44, berkata, kebanyakan ibu bapa kesal kerana kejadian itu tidak dimaklumkan segera oleh pihak sekolah kepada ibu bapa.

Dakwanya, pihak sekolah juga dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan kes itu dan langsung tidak membantu.

Ahmad Fauzi Md Sood, 50, pula berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu menerusi perbualan ibu bapa di kumpulan WhatsApp sekolah.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, tiga pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah berasrama penuh di sini terpaksa menerima rawatan di HTJ selepas dipercayai dibuli pelajar senior.

Baca artikel berkaitan di sini: https://bit.ly/3wh7Xr1

Muzik: www.bensound.com

#SinarHarian #BeritaSemasa" />