'Terseksa' bekalan air kerap terputus

Lebih 30 penduduk Kampung Kasing mengadakan demonstrasi aman bagi mendesak Kerajaan Pahang menyelesaikan isu gangguan bekalan air di kampung mereka.
Lebih 30 penduduk Kampung Kasing mengadakan demonstrasi aman bagi mendesak Kerajaan Pahang menyelesaikan isu gangguan bekalan air di kampung mereka.
A
A
A


ROMPIN - Lebih 600 penduduk di Kampung Kasing di sini, mengakui tidak tahan dengan isu gangguan bekalan air bersih di kampung mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penduduk mendakwa, masalah bekalan air semakin meruncing sejak Ramadan lalu, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

Susulan itu, seramai 30 penduduk Kampung Kasing mengadakan demonstrasi aman bagi membolehkan pihak berkaitan mendengar rintihan mereka dan menyelesaikan isu membelenggu mereka.

Difahamkan gangguan bekalan air bersih berlarutan di Mukim Endau bukan sahaja melibatkan Kampung Kasing, tetapi juga beberapa kampung lain seperti Kampung Setajam, Kampung Kurnia dan Kampung Pianggu.

Muhammad Hafiz
Muhammad Hafiz



Penduduk, Muhammad Hafiz Mohd Dee, 32, berkata, masalah tersebut mula membelenggu penduduk ketika sambutan Aidilfitri lepas sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengangkut air bagi keperluan harian.

Dia mengakui bimbang dengan keadaan ibu bapa mereka di kampung yang terpaksa mengangkut air setiap kali berlakunya gangguan bekalan.

"Saya yang muda kalau angkut air masih boleh terima, tapi bayangkan mak dan ayah serta mereka yang berumur terpaksa angkut air, mereka sudahlah tiada tenaga.

"Hendak menangis pun ada, sebab hanya penduduk rasa kepayahan ini terpaksa tadah air dan angkut air pagi dan malam. Mereka yang tidak alami situasi ini tidak akan faham," katanya ketika ditemui di Kampung Kasing di sini pada Isnin.

Dalam demonstrasi aman itu pelbagai tulisan pada kain rentang yang menjadi rintihan dan suara penduduk kampung.

Antaranya 'Tua-tua pun kena angkut air setiap hari, Dahsyat sunguh tahun 2022. Mai dok sebulan rumah kami pakat sama-sama angkut air'.

Menurutnya, tangki air yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit yang dibina pada 2012 di kawasan berhampiran masih tidak dapat dimanfaatkan dan menjadi projek gajah putih.

"Saya kecewa, sudahlah tahun ini raya mengejut, balik kampung pun kami dikejutkan dengan ketiadaan air dan terus terang begitu 'terseksa' dengan ketiadaan air, segala urusan harian tergendala.

"Masalah ini sudah diadukan kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan mereka menyatakan air terpaksa dicatu kerana tekanan rendah.

"Jadi, kami memhon jasa baik pihak berkenaan menyelesaikan segera isu ini, kami tidak boleh tunggu lagi, ini bukan main-main, ini keperluan," katanya yang merupakan penjawat awam.

Hasnah
Hasnah



Bagi suri rumah Hasnah Bakar, 58, berkata, gangguan bekalan air menjejaskan lebih 100 rumah di Kampung Kasing pada awal bulan lalu.

Menurutnya, beberapa kampung berhampiran iaitu Kampung Setajan, Kampung Kurnia dan Kampung Pianggu turut berdepan dengan masalah sama, namun gangguan itu tidak seteruk Kampung Kasing.

"Saya sudah 41 tahun menetap di sini (Kampung Kasing) dan tahun ini paling teruk. Terus-terang cakap saya dan penduduk kampung amat menderita, banyak urusan harian tidak dapat dilakukan.

"Kalau dulu dua hari sekali dan malam ada juga air boleh disimpan tetapi sejak penghujung Ramadan sampai sekarang air tiada berterusan.

"Ada sekali pihak berkenaan hantar air yang berwarna merah, bila saya guna untuk mandi badan gatal-gatal dan terpaksa pergi ke stesen minyak untuk mandi semula," ceritanya.

Norhafidah
Norhafidah



Senada dengan itu, Norhafidah Abd Rahman, 34, memaklumkan terpaksa menggunakan air mineral untuk memasak dan minum selepas mengalami gangguan bekalan air.

"Kali ini paling teruk tiada air apabila saya terpaksa basuh pakai di kedai dobi. Memang saya tidak tahan tak ada air, kita ini buka orang kaya, hidup dengan makan gaji sahaja.

"Jadi, saya harap pihak berkaitan segera bantu tangani masalah ini, itu sahaja yang penduduk kampung minta," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain memaklumkan permasalahan itu telah dibawa ke peringkat tindakan kerajaan Pahang dan dibincangkan bersama pihak Paip.

Menurutnya, perbincangan itu sudah diadakan bagi mencari jalan penyelesaian segera termasuklah memasang paip bagi menyedut air ke tangki air.

"Perkara ini mendapat perhatian khusus daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Wan yang turun padang bersama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sallehuddin Ishak bagi mencari jalan penyelesaian terutama kawasan tumpuan di daerah Rompin ini.

"Sebanyak RM43 juta diperuntukan untuk tujuan mengatasi permasalahan kawasan tumpuan Rompin. Projek-projek ini akan dijalankan segera dan akan melibatkan perjumpaan dengan pemimpin setempat," katanya.

Ditanya masalah tangki air tidak berfungsi di mukim Endau, Mohd Johari berkata, pihak Paip telah membuat pembentangan kos lebih kurang RM12 juta bagi membina pam menaikkan air ke tangki baharu.

Tambahnya, antara rancangan yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah air di daerah ini adalah pembinaan tangki sedutan dan rumah pam yang baharu.

Selain itu, Mohd Johari berkata, pemasangan paip merentasi Jambatan Anak Endau adalah di antara skop yang dipersetujui dalam menambah baik sistem bekalan air di kawasan Tanjung Gemuk dan sekitar.

"Begitu juga dengan penambahan pam baharu di Loji Air utama di Sepayang akan menambah lagi Kapasiti air sedia ada. Semua skop ini telah dipersetujui untuk dilaksanakan dalam masa terdekat oleh Paip.

"Kaedah sistem pam menaikkan air di kedua-dua tangki tersebut dijangka dapat menyelesaikan masalah penduduk dan pihak Paip juga sedang mengkaji pembinaan loji baharu untuk jangka panjang dan ini merupakan bonus untuk Mukim Endau dan sekitarnya," katanya.