X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Fenomena kepala air Gunung Suku bukan sebab pembalakan

MOHAMED ZIN
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Negeri Perak menegaskan fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Suku di dalam Hutan Simpan Bukit Kinta, Simpang Pulai, di sini pada Ahad bukan disebabkan kegiatan pembalakan.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, semakan pihaknya mendapati tiada sebarang lesen pembalakan dikeluarkan di sekitar lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian kepala air itu dipercayai berpunca akibat hujan lebat yang berlaku pada awal pagi Ahad.

"Semakan awal Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung mendapati kes kehilangan ini berlaku di sebahagian kompartmen 115, Hutan Simpan Bukit Kinta yang mana dua orang pendaki hilang akibat fenomena kepala air.

"Dua pendaki ini adalah dari satu kumpulan 29 orang pendaki yang mempunyai permit memasuki hutan simpan kekal yang sah," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Sementara itu, Mohamed Zin berkata, pihaknya juga membantu pihak polis serta bomba dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang tersebut.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, Jabatan Perhutanan negeri menutup sementara kebenaran mendaki Gunung Suku disebabkan keadaan yang agak berbahaya ketika ini.

Pada Ahad, pasukan penyelamat menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, kaki bahagian kiri itu ditemui oleh Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) yang ditugaskan untuk mengesan kedua-dua mangsa kira-kira jam 5.05 petang.

Sinar Harian melaporkan dua wanita dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini pada Ahad dikhuatiri dihanyutkan kepala air.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Cheras dan Klang.

Lokasi kejadian adalah di Hutan Simpan Kekal Gunung Suku yang terletak lebih kurang tiga jam perjalanan kaki dari jalan utama.

Semasa kejadian pada jam 5 pagi, sekumpulan pendaki gunung seramai 29 orang telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua daripada mereka dihanyutkan oleh arus deras.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!