X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Singapura lapor tiga kes varian Omicron BA.4, BA.5

Singapura pada Isnin merekodkan kes Covid-19 jangkitan tempatan melibatkan dua kes varian BA.4, dan satu kes varian BA.5. - Gambar hiasan
A
A

SINGAPURA - Singapura pada Isnin merekodkan kes Covid-19 jangkitan tempatan melibatkan dua kes varian BA.4, dan satu kes varian BA.5, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

"Ini adalah kes komuniti pertama yang disahkan membabitkan varian BA.4 dan BA.5," memetik laman sesawang MOH.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah baru-baru ini mengklasifikasikannya sebagai Varian Membimbangkan (VOC).

Varian BA.4 dan BA.5 dikesan melalui ujian terhadap sampel positif tindak balas rantai polimerase (PCR) serta disahkan melalui penjujukan genom (WGS).

"Semua kes sama ada tanpa gejala atau mempunyai simptom ringan seperti demam, batuk, hidung berair dan sakit tekak; dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital.

"Mereka telah lengkap divaksinasi, dan menerima dos penggalak mereka,” menurut kenyataan itu.

Ketiga-tiga kes telah menjalani kuarantin kendiri setelah diuji positif Covid-19.

Varian BA.4 dan BA.5 pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan pada awal 2022 dan sejak itu menjadi varian dominan.

Kedua-dua varian mengandungi mutasi spike protein dan dilihat menjejaskan sistem imun dan kadar keberjangkitan lebih tinggi berbanding BA.1 dan BA.2 yang menyebabkan gelombang Omicron awal tahun ini.

Memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 1,000 kes BA.4 dan BA.5 telah dilaporkan di sekurang-kurangnya 16 negara setakat 11 Mei 2022.

"Kami akan meningkatkan pengawasan dan terus memantau penularan BA.4 dan BA.5 di Singapura,” tambah kementerian itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!