[VIDEO] Sokongan orang sekeliling pemangkin semangat

Shamsul Anuar (kiri) bersama isterinya, Siti Zubaidah Latif yang juga merupakan seorang guru di sekolah sama.
Shamsul Anuar (kiri) bersama isterinya, Siti Zubaidah Latif yang juga merupakan seorang guru di sekolah sama.
A
A
A

REMBAU - Guru, Shamsul Anuar Amat Kasi, 51, mengajar subjek Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Rembau di sini selama 10 tahun sebelum disahkan buta sepenuhnya pada tahun 2004 akibat penyakit Retina Pigmentosa.

Beliau kini merupakan guru cemerlang bimbingan dan kaunseling di sekolah sama.

Shamsul Anuar berkata, penyakit berkenaan dikesan ketika beliau berusia 15 tahun, kira-kira 36 tahun lalu selepas mengalami beberapa tanda penyakit berkenaan seperti penglihatan gelap pada waktu malam atau siang secara tiba-tiba dan double vision.

“Doktor mengesahkan saya mengalami masalah saraf di belakang mata yang menyebabkannya buta secara perlahan-lahan,” katanya.

Shamsul Anuar menerima pelbagai anugerah dan aktif dalam NGO.
Shamsul Anuar menerima pelbagai anugerah dan aktif dalam NGO.

Penerima Anugerah Tokoh Guru Orang Kurang Upaya (OKU) Cemerlang Kebangsaan 2019 itu berkata, selepas disahkan buta beliau diletakkan di bawah pengawasan Lembaga Perubatan selama enam bulan.

“Saya kemudiannya mendapat keizinan daripada pengarah pelajaran pada ketika itu dan juga sokongan unit perkhidmatan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengikuti skim latihan dan pemulihan di Persatuan Orang Buta Malaysia bagi mengikuti latihan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

“Alhamdulillah saya dapat menamatkan kursus dua tahun itu hanya selama enam bulan,” jelasnya.

Shamsul Anuar tidak mahu menjadikan kekurangan tersebut sebagai penghalang untuk berjaya dan meneruskan kerjayanya sebagai seorang guru.

“Rakan sekeliling, guru-guru terutamanya isteri yang tidak pernah jemu memberi sokongan untuk terus maju.

“Lebih membuatkan rasa tersentuh apabila anak-anak murid juga sangat menghargai dan menghormati saya,” ujarnya.