Pemandu tular halang ambulans ada masalah pendengaran

Tangkap layar video memaparkan sebuah MPV menghalang laluan ambulans.
Tangkap layar video memaparkan sebuah MPV menghalang laluan ambulans.
A
A
A

KAMPAR - Pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dikesan menghalang laluan ambulans sepertimana video tular disahkan mempunyai masalah pendengaran.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintedan Mohamad Nazri Daud berkata, lelaki berusia 62 tahun itu mengalami Tinnitus-Acoustic Neuroma sejak tiga tahun lalu dan masih mendapatkan rawatan lanjut daripada pakar.

Menurutnya, perkara itu disahkan selepas lelaki berkenaan dipanggil hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk siasatan lanjut sekitar jam 5 petang pada Ahad.

"Polis melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu berkenaan.

"Dalam perkara ini, polis akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan trafik bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan mendapati, kejadian itu berlaku di Kilometer 292 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Gopeng.

Katanya, daripada video tular itu, polis berjaya mengesan pemandu kenderaan terlibat.

"Terima kasih kepada pengguna jalan raya yang prihatin menyalurkan maklumat bagi membantu polis dalam tindakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan," katanya.

Video berdurasi 38 saat itu memaparkan sebuah MPV dipandu di lorong kanan tidak memberikan laluan kepada ambulans yang datang dari arah belakang.

Meskipun ambulans telah membunyikan siren, kenderaan berkenaan tetap kekal di lorong kanan.