Sangkal dakwaan tiket penerbangan mahal ketika Tahun Baru Cina 2023

Wee Ka Siong - Foto Bernama
Wee Ka Siong - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan dakwaan dibuat Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh berhubung harga tiket penerbangan mahal sehingga mencecah RM3,283 dari Ipoh ke Singapura ketika perayaan Tahun Baharu Cina tahun hadapan.

Menurutnya, berdasarkan semakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), kos penerbangan AirAsia membabitkan destinasi itu adalah RM196 pada 19,20 dan 21 Januari iaitu sebelum Tahun Baru Cina yang disambut pada 22 Januari 2023.

"Bagi harga penerbangan AirAsia dari Singapura ke Ipoh pada tarikh sama adalah RM1,185.

“Berdasarkan kepada data di atas, kos penerbangan pergi dan balik tidak mencecah RM3,283 seperti mana yang didakwa oleh Wong Kah Woh menerusi hantaran di Facebook beliau,” katanya menerusi tulisan di Facebooknya pada Ahad.

Tambah Ka Siong, harga tiket penerbangan untuk minggu sebelum dan selepas Tahun Baru Cina juga lebih murah.

“Sebagai contoh, harga tiket penerbangan AirAsia dari Ipoh ke Singapura pada 16 hingga 18 Januari 2023 adalah RM184 manakala harga tiket untuk penerbangan pada 23 hingga 24 Januari 2023 pula antara RM408 hingga RM691.

“Harga tiket AirAsia dari Singapura ke Ipoh pada 16 hingga 18 Januari 2023 adalah antara RM434 hingga RM821. Untuk penerbangan pada 23 hingga 24 Januari 2023, harganya adalah antara RM408 hingga RM517.

“Ini menunjukkan terdapatnya alternatif dan pilihan yang lebih murah untuk penumpang,” jelasnya.