Masih awal label gagal

11
11
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tempoh pemerintahan selama 10 bulan dianggap terlalu awal untuk mana-mana pihak menilai PH sebagai sebuah kerajaan yang gagal.

Pengerusi Wanita PH Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar berkata, penilaian boleh dibuat apabila usia pentadbiran sekurang-kurangnya melebihi dua tahun kerana ia dilihat tempoh paling bersesuaian.

“Soal prestasi memang jadi keutamaan mana-mana kerajaan, tapi bagi saya untuk kita beri kedudukan satu atau dua bintang belum masanya. Kita belum cukup setahun memerintah, terlalu awal untuk kita katakana PH gagal.

“Setiap perkara dan pelaksanaan baharu mesti ada kefahaman dari semua peringkat, jadi untuk kita katakan PH lemah itu sangat tidak adil sebab kami masih baharu dalam pentadbiran,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini

Sharifah Norhayati berkata, dalam situasi sekarang barisan kepimpinan seharusnya memberi kerjasama padu kepada kerajaan membangunkan negara bukan mengeluarkan kenyataan mengundang persepsi buruk rakyat.

“Kita patut sama-sama mendukung dan jika ada teguran, komenlah di saluran betul,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut melahirkan rasa kecewa dengan pentadbiran PH, yang didakwa kurang menunjukkan prestasi.

Menurutnya, bukan hanya Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, malah ramai yang melahirkan kekecewaan terhadap prestasi kerajaan PH.

Artikel Berkaitan:

Tanpa mengulas panjang, Dr Mahathir berkata, beliau turut merasai situasi sama apabila ditanya berhubung kenyataan Nurul Izzah dalam wawancara bersama akhbar Singapura, The Sraits Times yang meluahkan kekecewaan dengan kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda transformasi.