Polis buru lelaki disyaki dera kanak-kanak 3 tahun

Keadaan kanak-kanak yang disyaki didera oleh penjaganya tular di media sosial.
Keadaan kanak-kanak yang disyaki didera oleh penjaganya tular di media sosial.
A
A
A

AMPANG - Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki mendera kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Pandan Perdana pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 40-an itu merupakan penjaga sementara kepada mangsa kerana ibu bapanya sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

"Mangsa telah dijaga oleh suspek sejak Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohamad Farouk berkata, kejadian itu disedari oleh seorang lelaki yang terdengar tangisan kanak-kanak itu pada jam 1 petang.

"Pengadu telah membuat pemeriksaan badan mangsa mendapati kesan kecederaan di muka dan badannya. Pengadu kemudian terus ke balai polis untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Beliau berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03- 42892222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.