Tiga pelajar cedera dipercayai dibuli senior

No Image Caption
A
A
A

NILAI - Tiga pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah berasrama penuh di sini terpaksa menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di Seremban selepas dipercayai dibuli pelajar senior.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, polis telah menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu pada Sabtu.

"Kesemua mangsa mendakwa telah dipukul oleh pelajar lebih senior dipercayai Tingkatan Empat sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan.

"Disebabkan itu mangsa terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di HTJ," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, polis telah pun mengenal pasti dua pelajar senior yang dipercayai boleh membantu siasatan dalam kejadian itu.

Tambahnya, polis tidak menolak kemungkinan masih ada lagi pelajar lain yang terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun.

"Sehubungan itu masyarakat dinasihatkan tidak memanipulasi kejadian yang boleh menyebabkan kegusaran awam sehingga hasil siasatan lengkap diperoleh," ujarnya.