Laluan Gopeng Ultra Trail selamat

Khairul Anwar (kanan) ketika melihat laluan check point yang digunakan bagi penganjuran Gopeng Ultra Trail.
Khairul Anwar (kanan) ketika melihat laluan check point yang digunakan bagi penganjuran Gopeng Ultra Trail.
A
A
A

GOPENG - Laluan sepanjang 100 kilometer (km) yang digunakan bagi penganjuran Gopeng Ultra Trail bermula dari Gua Tempurung, di sini disahkan selamat.

Pegawai Daerah Kampar, Khairul Anwar Ramli berkata, selain dijadikan lokasi pilihan bagi penganjuran sama dua tahun berturut-turut, kawasan itu juga sering menjadi tumpuan bagi aktiviti larian dan rekreasi.

"Kawasan ini merupakan tempat pelancongan dan hampir setiap minggu orang ramai keluar masuk untuk jalankan aktiviti, jadi ia memang selamat untuk dikunjungi atau dijadikan tempat rekreasi," katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat seorang peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak Sabtu lalu.

Menurutnya, tahun ini terdapat hampir 1,400 peserta mengikuti pertandingan itu yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 25km, 50km dan 100km.

"Semua peserta menamatkan larian dengan selamat, kecuali seorang yang dimaklumkan hilang dan masih belum ditemui.

"Kes kehilangan yang dilaporkan ini adalah yang pertama kali berlaku, kerana itu kita agak hairan, daripada lebih 1,000 peserta, hanya seorang gagal dikesan," katanya.

Beliau berkata, kawasan itu tidak akan ditutup kepada umum, meskipun operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.

"Tiada halangan untuk pelancong datang, aktiviti boleh dijalankan seperti dirancang, cuma kita minta aktiviti itu diadakan dalam bentuk kumpulan supaya jika ada apa-apa berlaku mudah untuk kita ambil tindakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli keluarga yakin Asyraf selamat

Sabtu lalu, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu.

Operasi mencari kemudiannya digerakkan bermula di check point 6, lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu kira-kira 12km dari garis mula.