Malaysia lantang mahu AS selesai kekejaman terhadap Palestin

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan pendirian Malaysia berhubung konflik Ukraine-Rusia, Palestin, Myanmar dan Laut China Selatan semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang dipengerusikan Presiden Joe Biden di Washington DC baru-baru ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan pendirian Malaysia berhubung konflik Ukraine-Rusia, Palestin, Myanmar dan Laut China Selatan semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang dipengerusikan Presiden Joe Biden di Washington DC baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesungguhan Malaysia bersuara lantang mengenai isu berkaitan Palestin dengan meminta Amerika Syarikat (AS) bersikap jujur menyelesaikan kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin menunjukkan pendirian tegas dan konsisten negara berhubung perkara itu.

Beberapa penganalisis isu semasa berpandangan bahawa tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan pendirian Malaysia berhubung konflik Ukraine-Rusia, Palestin, Myanmar dan Laut China Selatan semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang dipengerusikan Presiden Joe Biden di Washington DC baru-baru ini adalah tepat.

Pensyarah Perhubungan Antarabangsa Universiti Selangor Ismail Hashim berkata, konflik Palestin-Israel sudah berlarutan sejak sekian lama dan perlu ditangani dunia terutama AS yang perlu menggunakan pengaruhnya untuk menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata, dunia perlu segera membuka mata kepada apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin serta mengambil tindakan sepatutnya dan Malaysia perlu merintis ke arah berusaha mengambil tindakan dalam menyelesaikan isu itu.

"Kalau Amerika tak mahu ambil (tindakan), Malaysia boleh terajui. Negara Islam harus tegas kalau Amerika tak mahu bertindak,” katanya merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang meminta AS berlaku jujur dan telus dalam menangani isu Israel-Palestin.

Malaysia turut berpendirian tegas mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan rejim Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin seperti yang berlaku di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis kebelakangan ini.

"Malaysia lebih ke hadapan dalam membela hak rakyat Palestin ini sejak dulu lagi... masa pergi ke Gaza dahulu untuk buat misi bantuan Aman Palestin pada 2014, orang Palestin di Gaza pun hormat Perdana Menteri kita,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid pula berpandangan bahawa permintaan Perdana Menteri kepada AS sememangnya tepat kerana negara itu sahaja yang boleh mempengaruhi Israel atau melakukan satu tindakan yang akan menyebabkan rejim zionis terpaksa patuh dan mempertimbang tindakannya.

Justeru, beliau berkata Malaysia perlu meneruskan usaha mempengaruhi negara serantau dalam membantah keganasan yang dilakukan terhadap Palestin.

"Saya berpandangan Malaysia jangan hanya menyuarakan (isu ini) di Washington sahaja, (kita) mesti mencari jalan bagaimana mempengaruhi sebanyak mungkin negara lain untuk mewujudkan suara yang lebih besar, kuat dan menyatakan benda yang tegas,” katanya.

Mohd Azmi berkata, selain Brunei dan Indonesia selaku negara Islam, Malaysia juga perlu mendapat sokongan Filipina, Singapura dan Thailand sebagai platform terdekat dalam mencapai kata sepakat untuk menekan AS supaya menggunakan pengaruhnya terhadap Israel. - Bernama