Lelaki parah ditetak gara-gara serai diracun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA KRAI - Seorang lelaki cedera parah dipercayai ditetak dua lelaki dalam satu pergaduhan di kebun getah, Kampung Gajah Mati Slow Temiang di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu mangsa yang berusia 39 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, hasil temu bual awal bersama salah seorang suspek mendapati ketika kejadian dia dan seorang lagi lelaki melalui jalan kebun mangsa.

"Semasa melalui jalan itu, mangsa telah bertindak menjerkah dua lelaki berkenaan dan bertanya kenapa serai yang ditanamnya itu diracun.

"Bagaimanapun, dua lelaki itu mengatakan tidak ada meracun serai berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya berjalan kaki untuk ke tempat kereta yang diparkir dengan melalui jalan kebun mangsa.

Katanya, semasa melalui kebun itu, kedua-dua lelaki berkenaan mengatakan bahawa mereka telah dibaling dengan buluh tajam, batu serta sabit tajam oleh mangsa.

Suzaimi berkata, pada masa yang sama mangsa telah bertindak menyerang suspek dengan parang dan kemudian berlaku pergelutan.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah kerana suspek mahu melalui jalan untuk pergi ke kebun getah, namun mangsa tidak benarkan sehingga berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara kedua-dua pihak.

"Selain itu, mangsa turut menuduh suspek meracuni serai yang ditanamnya. Rakaman percakapan awal mangsa belum dapat diambil kerana mangsa sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra," katanya.

Menurutnya, pegawai perubatan memaklumkan bahawa mangsa mengalami luka dalam sehingga pecah tengkorak kiri kepala, luka dalam di bahagian belakang, calar di tangan kiri dan bengkak kaki kiri.

Beliau berkata, kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah kecederaan serius dan boleh mendatangkan kecacatan kekal.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.