Dua pendaki dikhuatiri dihanyutkan kepala air

Kawasan operasi bagi mengesan dua pendaki wanita yang hilang di Gunung Suku, Simpang Pulai. Foto: Ihsan Bomba Perak
Kawasan operasi bagi mengesan dua pendaki wanita yang hilang di Gunung Suku, Simpang Pulai. Foto: Ihsan Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Dua wanita dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini pada Ahad dikhuatiri dihanyutkan kepala air.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Cheras dan Klang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan selepas menerima maklumat kejadian tanah runtuh pada jam 6.50 pagi.

Menurutnya, lokasi kejadian adalah di Hutan Simpan Kekal Gunung Suku yang terletak lebih kurang 3 jam perjalanan kaki dari jalan utama.

"Semasa kejadian pada jam 5 pagi, sekumpulan pendaki gunung seramai 29 orang telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Pasukan bomba menjalankan operasi dengan menyusuri laluan air bagi mengesan dua wanita yang hilang di Gunung Suku, Simpang Pulai. Foto: Ihsan Bomba Perak
Pasukan bomba menjalankan operasi dengan menyusuri laluan air bagi mengesan dua wanita yang hilang di Gunung Suku, Simpang Pulai. Foto: Ihsan Bomba Perak

"Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua daripada mereka (wanita) telah dihanyutkan oleh arus deras," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mior Faridalathrash berkata, operasi SAR masih diteruskan dan kedua-dua mangsa masih belum ditemui manakala, 27 pendaki lain ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, seramai 22 pegawai dan anggota bomba termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) ditugaskan untuk mengesan kedua-dua mangsa.

Katanya, operasi pencarian dijalankan dalam radius lima kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

"Operasi masih diteruskan dengan pasukan penyelamat menyusuri laluan air bagi mengesan mangsa.

"Selain bomba, SAR turut melibatkan 31 anggota dan pegawai daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis, malim gunung, Jabatan Perhutanan Perak dan Unit Komunikasi Kelab Rekreasi dan Komunikasi Radio (RCRC) Cameron Highlands," ujarnya.