13 terperangkap tragedi kepala air

Anggota bomba menyelamatkan pengunjung yang terkandas akibat kepala air di Lubuk Ujid Taman Che Minah Sayang di Maran pada Ahad. - Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba menyelamatkan pengunjung yang terkandas akibat kepala air di Lubuk Ujid Taman Che Minah Sayang di Maran pada Ahad. - Foto Ihsan JBPM
A
A
A

MARAN- Pengunjung di pusat rekreasi Lubuk Ujid Taman Che Minah Sayang di sini berdepan detik cemas selepas 13 orang terkandas di seberang sungai akibat kepala air yang melanda di kawasan itu pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.07 petang.

Menurutnya, mangsa melibatkan 13 orang terdiri tiga lelaki dan tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

Operasi menyelamatkan mangsa yang terkandas oleh anggota dari BBP Maran di Lubuk Ujid Taman Che Minah Sayang di Maran pada Ahad. - Foto Ihsan JBPM
Operasi menyelamatkan mangsa yang terkandas oleh anggota dari BBP Maran di Lubuk Ujid Taman Che Minah Sayang di Maran pada Ahad. - Foto Ihsan JBPM

"Operasi disertai dua pegawai dan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama sebuah jentera penyelamat, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Perodua Kembara.

"Tindakan operasi penyelamatan adalah menggunakan peralatan PFD dan tali dengan cara teknik menyeberangi sungai," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan operasi berakhir pada jam 4.10 petang.