Isu Sapura: Serlah sikap Najib, UMNO mahu salah guna dana rizab negara

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Saranan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar Petronas wajar ‘menyelamatkan’ syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Berhad (SEB) seharusnya disanggah oleh rakyat, khususnya orang Melayu.

Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana ia menyerlahkan sikap Najib dan kepimpinan UMNO yang tanpa segan silu ingin menyalahgunakan dana rizab negara untuk perkara yang bercanggah dengan tujuan mutlak rizab itu.

Menurutnya, niat di sebalik kenyataan Najib itu dilihat bertentangan dengan tujuan penubuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Hasrat Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein berkaitan DEB pada tahun 1970 bukanlah untuk menyelamatkan syarikat gergasi yang gagal mengurus kewangan dengan baik.

“Pertumbuhan kek ekonomi yang terhasil melalui DEB bukan untuk tujuan itu, walaupun syarikat yang hendak diselamatkan itu milik Melayu.

“Sebaliknya, prinsip DEB adalah untuk memastikan kekayaan yang terjana dari pertumbuhan ekonomi memanfaatkan golongan termiskin, yang majoritinya orang Melayu,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Ahad.

Mukhriz berkata, sememangnya pendekatan Pertumbuhan dengan Pengagihan Saksama adalah satu-satunya prinsip terpenting dalam DEB.

“Walaupun ada ruang rizab negara digunakan untuk menyelamatkan syarikat bagi tujuan strategik yang memberi manfaat kepada negara, semestinya ia tidak terpakai bagi syarikat yang punca masalahnya ialah pengurusan yang tidak amalkan etika kerja dan tadbir yang baik,” ujarnya.

Menurutnya lagi, saranan Najib itu merupakan manifestasi kepada kebobrokan pemimpin UMNO yang sering menyalah guna dasar kerajaan yang baik untuk kepentingan peribadi.

“Dasar yang bertujuan untuk angkat kedudukan Melayu dimanipulasi untuk kepentingan peribadi. Mereka cekap berselindung di sebalik matlamat agensi kerajaan yang diperuntukkan geran kerajaan, hakikatnya adalah dana awam untuk dicuri.

“Perlu diingatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk memacu pembangunan ekonomi jangka panjang dan pertumbuhan Malaysia yang mampan untuk manfaat rakyat. Namun apakah manfaat diraih rakyat? Penyelewengan dana kerajaan seperti 1MDB oleh Najib dan konco-konconya merupakan pengkhianatan terbesar kepimpinan UMNO terhadap orang Melayu,” jelasnya.

Mukhriz berkata, sekiranya tujuan DEB adalah untuk mengagihkan kekayaan dari pertumbuhan ekonomi, 1MDB pula menyusut kewangan negara dengan bebanan hutang yang akhirnya ditanggung oleh rakyat.

“Akibatnya, bukan sahaja dasar yang mempunyai objektif baik itu gagal, bukan Melayu turut menolak dasar itu disebabkan karenah UMNO dan pemimpinnya. DEB dipersalahkan sebagai memesongkan khazanah negara untuk memperkayakan pemimpin UMNO, sedangkan ramai Melayu dan bukan Melayu miskin perlukan pembelaan seperti dihasratkan DEB,” katanya lagi.

Disebabkan itu, kata Mukhriz, kenyataan Najib mengenai pertumbuhan kek ekonomi harus disanggah oleh keseluruhan masyarakat Melayu.

“Pengkhianatan pemimpin UMNO terhadap Melayu harus disekat dengan penolakan Melayu terhadap UMNO secara menyeluruh.

“Cukup-cukuplah laungan ‘Hidup Melayu!’ dijadikan perisai untuk pemimpin UMNO. Melayu tidak rela diperkudakan UMNO lagi. Melayu tahu mana kaca yang melukakan, mana berlian yang gemerlapnya menerangi laluan kelam,” tegasnya.

Pada Debat Perdana yang menampilkan Najib bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis, Najib mencadangkan agar Petronas mengambil alih SEB.

Menurut beliau, ia sekali gus dapat menjamin dan menyelamatkan RM7 bilion kontrak SEB.