Malaysia perlu lebih banyak dana untuk bantu pelarian Myanmar

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah bercakap mengenai isu Myanmar semasa sidang media di Washington D.C, pada Sabtu. - Foto Bernama
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah bercakap mengenai isu Myanmar semasa sidang media di Washington D.C, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

WASHINGTON D.C - [DIKEMASKINI] Malaysia memerlukan lebih banyak dana untuk membantu pelarian Myanmar di Malaysia, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah di sini pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

Beliau berkata, Kuala Lumpur sedang melihat untuk menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan kepada 200,000 pelarian Myanmar dan 150,000 pelarian Rohingya di Malaysia.

"Terdapat 48 pusat pembelajaran alternatif (ALC) yang ditubuhkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menyokong pendidikan 25 peratus hanya untuk anak pelarian kerana pembiayaan yang terhad,” katanya. Bagaimanapun beliau tidak dapat memberikan angka yang tepat.

Bercakap kepada media selepas pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Luar Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar Zin Mar Aung di sini, Saifuddin berkata, Malaysia telah meminta negara ketiga termasuk Amerika Syarikat (AS) untuk memberikan bantuan kewangan itu.

Beliau berkata, malah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membangkitkan perkara itu ketika bertemu Presiden AS Joe Biden dan pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang baru sahaja selesai di sini. - Bernama

"Pada masa ini, kami menerima bantuan kewangan daripada Yayasan Qatar untuk membantu beberapa ALC," kata menteri itu.

Myanmar berada di bawah pemerintahan junta berikutan rampasan kuasa pada 1 Feb 2021 yang menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Junta gagal memberi komitmen kepada Konsensus 5 Perkara yang dicapai antara pemimpin ASEAN dan Ketua Junta Jeneral Kanan Min Aung Hliang semasa mesyuarat ASEAN pada April 2021 di Jakarta.

Lima perkara itu ialah menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan yang membina dalam kalangan semua pihak berkepentingan; ASEAN menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar; utusan khas ASEAN yang dilantik untuk menjalankan rundingan; dan utusan untuk dibenarkan melawat negara itu.

Saifuddin berkata, ASEAN perlu lebih kreatif dalam 'melakukan sesuatu' berikutan kekurangan kemajuan selepas setahun; junta telah gagal untuk melaksanakan komitmennya.

Beliau berkata ASEAN, sebagai contoh, boleh menyediakan sokongan teknikal dan latihan untuk pentadbir muda dan sukarelawan NUG.

"Saya memberitahu Mar Aung bahawa Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk memberikan bantuan kewangan, tetapi kami bersedia untuk menyediakan latihan, dan kami memerlukan negara ketiga sebagai pembiaya dana," kata Saifuddin.

Beliau berkata, sebagai contoh, Malaysia bekerjasama dengan kerajaan Australia untuk melatih 1,000 guru bahasa Inggeris di Afghanistan, dengan Canberra menyediakan dana latihan.

Menteri Malaysia itu turut menyentuh mengenai bantuan kemanusiaan semasa perbincangan itu.

Saifuddin berkata beliau mencadangkan setiap negara anggota ASEAN menawarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu dalam kerja-kerja kemanusiaan di negara itu, dengan Kuala Lumpur menawarkan Mercy Malaysia.

"Kami mahu memastikan bantuan kemanusiaan itu sampai kepada kumpulan yang disasarkan,” katanya.

Kuala Lumpur tidak mengiktiraf junta; Kabinet Malaysia telah memutuskan bahawa Malaysia boleh terlibat dengan NUG, kerajaan bayangan Myanmar yang mewakili penggubal undang-undang yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya November 2020. - Bernama