UMNO sah pinda perlembagaan

Perhimpunan Agung Khas UMNO
Perhimpunan Agung Khas UMNO
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO pada Ahad meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pindaan perlembagaan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU Khas) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter beliau.

"Diluluskan pindaan perlembagaan dengan sebulat suara oleh perwakilan dalam #Dewan Merdeka, #WTCKL pada 15/5/2022. Alhamdulillah,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Ahad sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas

Sementara itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi Twitternya mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan UMNO kerana berjaya melaksanakan PAU Khas UMNO.

“Tahniah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana berjaya membuat pindaan perlembagaan UMNO terhadap Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2.

Terdahulu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membentangkan usul dengan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi pembentangan yang dibacakan kepada perwakilan, Khaled memaklumkan bahawa secara umumnya, pindaan melalui Perhimpunan Agung Khas UMNO ini melibatkan hanya tiga fasal iaitu Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2.

“Dengan hanya melibatkan tiga fasal ini sahaja, ia bermakna pemilihan parti tetap diadakan tiga tahun sekali seperti yang terkandung dalam Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO. Sebaliknya peruntukan dan fasal baharu yang dipinda dan dimasukkan ini adalah fasal pengecualian kepada pemilihan tiga tahun sekali tersebut.

“Fasal pertama yang dipinda adalah Fasal 10.16 yang sekarang ini memperuntukkan bahawa: Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.