Sultan Ibrahim terima laporan, taklimat isu Pulau Batu Puteh

Sultan Ibrahim berkenan mengadakan pertemuan dengan Wan Junaidi dan Mohamed Apandi untuk mendengar laporan dan taklimat betkenaan Pulau Batu Puteh Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Johor Bahru, pada Ahad
Sultan Ibrahim berkenan mengadakan pertemuan dengan Wan Junaidi dan Mohamed Apandi untuk mendengar laporan dan taklimat betkenaan Pulau Batu Puteh Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Johor Bahru, pada Ahad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor berkenan menerima laporan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu-isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipersembah laporan berkenaan dan taklimat yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Laporan dan dan taklimat itu berlangsung di Istana Polo, di sini pada Ahad yang turut dihadiri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selain Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menerusi pertemuan tersebut, Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan kepada Pasukan Petugas Khas bahawa sebab-sebab keputusan kerajaan Dr Mahathir untuk tidak meneruskan semakan semula kes itu di ICJ perlu dijadikan pengetahuan umum.

“Ini adalah soal kedaulatan negeri Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan sedemikian,” titah baginda.

Pada 29 Oktober tahun lalu, Kabinet bersetuju membentuk pasukan berkenaan ekoran keputusan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.

Ketika itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa keputusan sedemikian seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di mahkamah berkenaan, walaupun ada pertemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia.

“Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu,” soal baginda.