10 Ketua Cabang PKR Pahang menang tanpa bertanding

Ahli PKR memilih pemimpin di peringkat negeri dan pusat pada pemilihan PKR di pusat pengundian bagi Cabang Paya Besar di Dewan Serbaguna Taman Tas pada Ahad.
Ahli PKR memilih pemimpin di peringkat negeri dan pusat pada pemilihan PKR di pusat pengundian bagi Cabang Paya Besar di Dewan Serbaguna Taman Tas pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - 10 daripada 14 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pahang menang tanpa bertanding dalam proses pemilihan parti itu yang berlangsung pada Ahad.

Setiausaha PKR Pahang, Wong Ming Hui berkata, mereka yang mengekalkan jawatan itu ialah Ketua Cabang Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi; Ketua Cabang Indera Mahkota, Lee Chean Chung; Ketua Cabang Rompin, Jamaludin Masri dan Ketua Cabang Maran, Bostamin Bakar.

Menurutnya, enam cabang lain ialah Bentong, Raub, Bera, Cameron Highlands, Jerantut dan Kuala Krau.

"Manolan Mohamad mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Bera manakala Ketua Cabang Kuala Krau pula kekal disandang Mohamad Hafez Harun.

"Empat lagi Ketua Cabang dimenangi muka baharu selepas penyandang jawatan sebelumnya tidak bertanding.

"Ketua Cabang Bentong kini di sandang Jeffry Nizam manakala Anuar Busu di Raub, Ismail Mohd Hussin di Cameron Highlands dan Mohd Rafly Mohamad Satar dipilih sebagai Ketua Cabang Jerantut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau menjelaskan, empat lagi cabang iaitu Paya Besar, Pekan, Lipis dan Temerloh akan diketahui selepas selesai proses pemilihan.

Jelasnya, ini termasuk undi yang dilakukan secara dalam talian selesai sepenuhnya hujung bulan ini.

Menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan ada insiden di pusat pengundian, Ming Hui berkata, semua berada dalam keadaan terkawal.

"Setakat ini tidak ada sebarang insiden atau masalah dilaporkan sejak pusat pemilihan dibuka kira-kira jam 9 pagi tadi," katanya.

Dalam pada itu, Ming Hui berkata,pemilihan ketua di empat cabang dijangka sengit selepas menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Jelasnya, penyandang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad dicabar Datuk Seri Ahmad Omar dan Kamarzaman Mohamed Yunus.

"Tiga lagi cabang yang menyaksikan pertandingan ialah cabang Pekan, Temerloh dan Lipis," katanya.

Secara keseluruhan, seramai 38,659 ahli PKR di negeri itu layak mengundi membabitkan 3,620 ahli di Kuantan, Pekan (1,796), Maran (1276), Rompin (1,583), Temerloh (3,869), Raub (1,629), Lipis (2,038), Bentong (6,874), Cameron Highlands 1,033), Jerantut (2,782) Indera Mahkota (3,677), Paya Besar (3,788), Kuala Krau (1,589) dan Bera (3,105).