Pembinaan kilang di Puchong atasi kebergantungan import vaksin halal

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope (tiga, kiri) bersama Pengarah Urusan yang juga Pegawai Eksekutif UAC Berhad, BT Gan (dua, kiri) menyerahkan kunci rumah kepada mangsa kebakaran, Che Aziz Che Teh (dua, kanan), pada Ahad. - Foto Sinar Harian
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope (tiga, kiri) bersama Pengarah Urusan yang juga Pegawai Eksekutif UAC Berhad, BT Gan (dua, kiri) menyerahkan kunci rumah kepada mangsa kebakaran, Che Aziz Che Teh (dua, kanan), pada Ahad. - Foto Sinar Harian
A
A
A

TUMPAT - Pembinaan kilang insulin dan vaksin Covid-19 berstatus halal oleh syarikat perkhidmatan kesihatan bersepadu terbesar di Malaysia, Pharmaniaga Berhad dijangka mampu mengelak kebergantungan negara terhadap bekalan import bahan tersebut.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pembinaan kilang bernilai RM300 juta yang dibangunkan di Puchong, Selangor itu dijangka siap pada hujung tahun 2023.

"Pharmaniaga Berhad bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) memulakan pembangunan kilang tersebut pada tahun 2020.

“Dijangka 100 juta sehingga 300 juta insulin dan vaksin Covid-19 halal dapat dibekalkan setiap tahun setelah kilang itu siap nanti dengan keluaran pertama dalam negara pada tahun 2024,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Rasmi Kunci Rumah bernilai RM80,000 kepada mangsa kebakaran, Che Aziz Che Teh di Kampung Kubang Palas di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Urusan yang juga Pegawai Eksekutif UAC Berhad, BT Gan.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi pada 15 Oktober tahun lalu, rumah Che Aziz,65, sekeluarga musnah 100 peratus akibat kebakaran yang berpunca dari litar pintas dan mangsa cedera akibat melecur tahap satu di belakang badan.

Dalam pada itu Zulkarnain berkata, permintaan vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak di negara ini semakin berkurangan sejak tahun lepas susulan negara berada pada peralihan fasa endemik serta beberapa kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan.

“Pharmaniaga selesai membekalkan 20.4 juta dos vaksin kepada kerajaan pada tahun lepas dan kini fokus membekalkan vaksin termasuk dos penggalak kepada pihak swasta dan lain-lain.

“Kini, masih ada bekalan sebanyak 14 juta dos vaksin jenis Sinovac untuk dibekalkan kepada klinik-klinik swasta yang berdaftar untuk diberikan kepada rakyat. Kerajaan menetapkan harga vaksin tidak melebihi RM70 seunit,” katanya.

Tambah beliau, Pharmaniaga menggalakkan rakyat terus mengambil suntikan vaksin terutama bagi golongan kanak-kanak yang didapati masih berada pada tahap rendah iaitu hanya 30 peratus divaksin.

“Kami sarankan kepada ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka untuk diberikan vaksin bukan sahaja dos pertama dan kedua tetapi termasuk 'booster' kerana kita tidak tahu jenis varian pada masa akan datang.

“Setakat ini, bekalan vaksin masih diimport dari luar negara 100 peratus. Selepas ini vaksin untuk kanan-kanak pula akan dibangunkan di Malaysia bersama rakan kongsi dari Thailand, Korea dan India,” katanya.