‘UMNO tak ada DNA cetuskan kekacauan’

Perhimpunan Agung Khas UMNO yang berlangsung di WTCKL pada Ahad.
Perhimpunan Agung Khas UMNO yang berlangsung di WTCKL pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau sebaliknya berkata, parti itu telah mempunyai catatan bagi membangunkan negara.

“UMNO bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan. UMNO berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan.

“Justeru, soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan adalah agenda yang tidak pernah luput daripada kamus perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU Khas) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seharusnya dijadikan sempadan dan pengajaran buat negara.

Beliau turut menyifatkan pakatan politik yang baharu muncul ketika itu sebagai ‘indah khabar daripada rupa’.

“Pepat di luar, rencong di dalam, kokok berdegar-degar ekor bergelumang najis. Rakyat ditipu hidup-hidup,” katanya.