Persidangan DUN Sarawak berlangsung lapan hari

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 akan berlangsung selama lapan hari bermula 17 hingga 26 Mei depan, kata Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Beliau berkata, tiga Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2022), RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 dan RUU Perhutanan (Pindaan) 2022.

"RUU Perbekalan Tambahan (2022) akan dibentang oleh Timbalan Premier yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

"RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 akan dibentang oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali manakala RUU Perhutanan (Pindaan) 2022 dibentang oleh Timbalan Premier yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat dengan anggota DUN Gabungun Parti Sarawak (GPS) di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini pada Ahad.

Asfia berkata, sebanyak 347 soalan akan dikemukakan pada persidangan itu dengan 284 soalan untuk jawapan lisan dan 63 lagi soalan jawapan bertulis.

Beliau berkata, persidangan pada Rabu (18 Mei) akan turut diadakan pemilihan Senator baharu memandangkan Penggal Kedua Senator Datuk Zaiedi Suhaili akan tamat pada 18 Julai depan. - Bernama