UMNO setuju audit forensik terhadap Sapura Energy

Ahmad Zahid (tengah) bersama Perdana Menteri, yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) hadir pada Perhimpunan Khas UMNO dan Sambutan Hari UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) bersama Perdana Menteri, yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) hadir pada Perhimpunan Khas UMNO dan Sambutan Hari UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO pada Ahad bersetuju agar pengauditan forensik dilakukan ke atas Sapura Energy Bhd (SEB) selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkannya baru-baru ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengauditan forensik itu wajib dilakukan agar ia lebih telus.

“Kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib dilakukan agar ia lebih telus,” katanya sewaktu berucap pada Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU Khas) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Anwar dalam Debat Perdana bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengusulkan agar pengauditan forensik dilakukan terhadap SEB.

Beliau berkata, masalah yang dialami syarikat SEB adalah bersifat 'simptomatik' selepas ia mula dikesan pada 2016.

Selain daripada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut bersetuju dengan cadangan Najib semasa debat bahawa Petronas sesuai untuk mengambil alih SEB.

“Syarikat yang pegangan ekuitinya disertai oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) seperti SEB di mana terdapat lebih 10 juta pemegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN) turut mempunyai kepentingan mesti bantu.

“Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor terlibat.

“Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, Petronas sesuai untuk mengambil alih dan melakukan ‘turn-around’ segera mungkin,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO juga mahu melihat agenda-agenda Melayu dan bumiputera terus diperkasakan dalam tempoh dua dekad akan datang.

“Ini termasuk memperkukuhkan agensi-agensi amanah bumiputera.

“PNB, Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan institusi pegangan ekuiti bumiputera wajib menjadi agenda utama kerajaan tanpa tunduk dengan tekanan untuk agenda berkenaan dikesampingkan,” jelasnya.