Gesa pertimbang bina kolam tadahan alternatif

Nadzri (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Pengurus Kanan NCIA, Mohd Fauzi Ahya (kiri) pada majlis pelancaran projek Model Pengurusan Estet Padi daerah Kerian di Kampung Sungai Protan, Selinsing, hari ini.
Nadzri (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Pengurus Kanan NCIA, Mohd Fauzi Ahya (kiri) pada majlis pelancaran projek Model Pengurusan Estet Padi daerah Kerian di Kampung Sungai Protan, Selinsing, hari ini.
A
A
A

SELINSING - Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah kolam tadahan air alternatif khas untuk kegunaan pertanian di daerah Kerian dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, pembinaan kolam alternatif itu penting bagi membolehkan sebarang aktiviti pertanian terutama penanaman padi di daerah Kerian tidak lagi bergantung kepada bekalan air Kolam Bukit Merah seperti sekarang.

Menurutnya, fungsi Kolam Bukit Merah yang sudah berusia lebih 100 tahun itu difahamkan tidak hanya terhad kepada pembekalan air domestik dan pertanian, sebaliknya kini turut digunakan untuk tujuan perindustrian di Kamunting dan resort di Bukit Merah Laketown.

"Dengan fungsi pelbagai, Kolam Bukit Merah dilihat tidak lagi mampu memenuhi sepenuhnya keperluan pengairan pertanian bagi petani daerah Kerian yang sememangnya memerlukan sumber air banyak.

"Saya juga faham hendak bina sebuah kolam tadahan air alternatif memerlukan peruntukan belanja banyak, namun PPN Perak berpendapat kerajaan kena laksana juga projek itu demi kepentingan petani di daerah Kerian," katanya kepada media di sini, hari ini.

Nadzri berkata, kerajaan negeri dan pusat sebenarnya membuat pelaburan berbaloi sekiranya melaksanakan pembinaan kolam tadahan air alternatif tersebut meskipun kosnya mampu mencecah puluhan juta ringgit.

"Dalam hal pertanian, sumber air sebenarnya faktor paling penting dan jika pembinaan itu mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi petani secara mendadak, perkara itu tidak langsung memberi pulangan berbaloi kepada kerajaan dan rakyat untuk jangka masa panjang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadzri turut mengharapkan kerajaan pusat dapat memperuntukkan geran pembiayaan sebahagian daripada kos pembinaan sebuah kilang padi yang akan diusahakan PPN Perak bernilai keseluruhan RM40 juta.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peruntukan geran pembiayaan bersama itu sepatutnya sudah diluluskan kerajaan terdahulu, namun statusnya kini tergantung susulan berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan pusat pada PRU14.

"Dalam mesyuarat jemaah pengarah PPN Perak, kita sudah bersetuju membina kilang padi di Parlimen Parit dengan mengambil model binaan dari Terengganu dan jumlah keseluruhan kos RM40 juta.

"Namun, dana PPN Perak sendiri tidak mencukupi dan kami memerlukan suntikan tambahan dana kerajaan melalui pembiayaan geran sekurang-kurangnya RM20 juta bagi memastikan hasrat itu dapat direalisasikan," katanya.