Sila log masuk terlebih dahulu.

Ketuk cermin kereta minta sedekah

Peminta sedekah dipercayai warga asing kini semakin berani menghampiri pengguna jalan raya termasuk mengetuk cermin pintu kereta untuk meminta wang.
Peminta sedekah dipercayai warga asing kini semakin berani menghampiri pengguna jalan raya termasuk mengetuk cermin pintu kereta untuk meminta wang.
A
A
A

SHAH ALAM - Peminta sedekah dipercayai warga asing muncul semula di kawasan persimpangan lampu isyarat di Seksyen 7 di sini, malah kali ini lebih agresif.

Jika sebelum ini peminta sedekah terbabit hanya berdiri di tepi jalan namun kini mereka mula berani menghampiri pengguna jalan raya termasuk mengetuk cermin pintu kereta untuk meminta wang.

Usaha membanteras kerap dilakukan namun pihak berkuasa berkaitan berdepan dengan pelbagai cabaran tertakluk di bawah bidang kuasa agensi terbabit.

Ramai juga berpandangan selain penguatkuasaan operasi, ia tidak akan berkesan jika masyarakat tidak berganding bahu dalam mengekang kegiatan tersebut.

Pekerja swasta, Norazni Mat Nor, 32, berkata, menangani aktiviti mengemis bukan hanya tanggungjawab agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, masyarakat perlu bersama-sama membanteras isu peminta sedekah dengan tidak memberikan sumbangan kepada mereka bagi mengurangkan aktiviti tersebut.

"Jika mahu menyumbang, banyak rumah kebajikan berdaftar, mangsa bencana atau individu yang benar-benar susah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Seksyen 7 pada Ahad.

Sementara itu, pengguna jalan raya, Nor Atikah Tumiran, 30, pula berkata, kegiatan meminta sedekah di kawasan itu menggangu tumpuan pengguna jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemandu wanita sepertinya juga menjadi takut dan hilang fokus dalam pemanduan kerana peminta sedekah terbabit muncul secara tiba-tiba.

"Jalan di sini sesak, tiba-tiba mereka muncul di tepi cermin pintu kereta, kalau buat tidak nampak mereka akan mengetuk cermin untuk minta sedekah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna jalan raya mahu dikenali sebagai Normah, 30-an berkata, peminta sedekah 'mendominasi' lampu isyarat di sekitar Seksyen 7 pada waktu-waktu tertentu.

"Biasanya mereka muncul pada waktu pagi dan selepas waktu pejabat dan kadangkala mereka bertindak agak agresif, mungkin mereka tertekan kerana tiada kutipan," katanya.