Projek IHT rancakkan pelancongan Ipoh

Mohamad Haris (kanan) menyerahkan kunci kepada Rumaizi sambil diperhatikan Saarani (tengah) simbolik penyerahan pakej 1A, projek IHT kepada MBI.
Mohamad Haris (kanan) menyerahkan kunci kepada Rumaizi sambil diperhatikan Saarani (tengah) simbolik penyerahan pakej 1A, projek IHT kepada MBI.
A
A
A

IPOH - Pelaksanaan Projek Pelancongan Warisan Ipoh (IHT) berupaya merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan sempena pembukaan sempadan negara kepada pengunjung antarabangsa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bernilai RM11 juta itu akan membangun dan menaik taraf pelbagai infrastruktur dan kemudahan tarikan pelancong.

Menurutnya, ia selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021-2025 untuk membantu proses pemulihan industri pelancongan tempatan yang telah terjejas akibat wabak Covid-19.

"Selain memastikan setiap aspek warisan asli projek ini terpelihara, projek IHT akan memberi limpahan ekonomi yang amat diperlukan dengan peningkatan kedatangan pelancongan ke Ipoh secara tidak langsung meningkatkan aktiviti perniagaan dalam kalangan usahawan mikro kecil sederhana.

"Pembangunan Ipoh Padang melibatkan pemasangan infrastruktur pertunjukan cahaya dan bunyi yang memaparkan sejarah dan budaya negeri, destinasi-destinasi pelancongan serta memoir kartunis tersohor, Datuk Lat telah pun siap sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek Pelancongan Warisan Ipoh di Padang Ipoh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurutnya, projek IHT yang bermula pada 2 September 2020 dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2024.

Pertunjukkan visual dan bunyi berkonsepkan pemetaan cahaya pada fasad bangunan dapat mengetengahkan budaya, seni, karya dan lokasi tarikan pelancongan di Padang Ipoh.
Pertunjukkan visual dan bunyi berkonsepkan pemetaan cahaya pada fasad bangunan dapat mengetengahkan budaya, seni, karya dan lokasi tarikan pelancongan di Padang Ipoh.

"Komponen utama projek ini adalah pertunjukan visual dan bunyi berkonsepkan pemetaan cahaya pada fasad bangunan yang dapat mengetengahkan budaya, seni, karya dan lokasi tarikan pelancongan.

"Sebanyak 10 tema video disusun untuk tayangan selama tiga hari. Teknologi peralatan projektor dipasang secara kekal dapat digunakan untuk pelbagai pertunjukan dan persembahan seni media," katanya.

Saarani berkata, pembangunan itu akan menjadi pelengkap kepada perancangan Kawasan Pelancongan Pekan Lama seperti digariskan di dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) dan Ipoh Walkable City serta Rancangan Tempatan Ipoh 2035.

Sementara itu, Mohamad Haris berkata, sebanyak 200 peluang pekerjaan baharu akan dihasilkan menerusi pembangunan projek berkenaan.

"Ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan keseluruhan ekosistem pelancongan tempatan.

"Pembangunan Ipoh Padang akan memberi pilihan tarikan baharu kepada orang ramai untuk beristirahat dan memanfaatkan komuniti perniagaan terutama penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan," katanya.

Majlis pelancaran itu simbolik siapnya pakej 1A bagi projek IHT manakala pakej 1B pula melibatkan kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih kemudahan pelancongan termasuk membaiki laluan dan jambatan pejalan kaki serta kedai-kedai di Kinta Riverwalk yang telah siap pada penghujung tahun 2021.

Di bawah fasa dua projek IHT, NCIA akan menaik taraf bangunan lama Dewan Perbandaran Ipoh menjadi Pusat Seni Persembahan dan Pejabat Pos Lama akan ditukar menjadi Galeri Seni Digital. Pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2022.