Kerajaan perlu tingkat peluang OKU dalam bidang perguruan

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu meningkatkan peluang dan ruang kepada kumpulan orang kurang upaya (OKU) untuk dipilih bertugas sebagai guru dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, perkembangan dalam bidang teknologi pendidikan terkini antaranya seperti kewujudan sistem braille dan pengkomputeran telah meningkatkan kemajuan potensi kumpulan tersebut.

“Saya rasa OKU perlu diberi peluang kerana kita tahu mereka ini kurang menonjol.

“Jadi dah sampai masanya pihak kerajaan atau kementerian sendiri berusaha mendekati kumpulan ini dan menyerap mereka dalam sektor awam termasuk sebagai guru,” katanya yang merupakan bekas Ketua Pengarah Pelajaran kepada Sinar Ahad.

Alimuddin berkata, usaha melibatkan kumpulan tersebut boleh dilakukan melalui perhubungan antara kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama dengan pelbagai persatuan OKU dalam negara, selain hebahan di media massa.

Menurut Alimuddin, ada di antara individu daripada kumpulan OKU terbukti memiliki kemahiran dan berkebolehan yang diperlukan dalam bidang pendidikan, selain mempunyai tahap pelajaran yang tinggi.

“Dengan cara itu, peluang untuk OKU menjadi pendidik terbuka luas,” ujar beliau.

Tegasnya, OKU yang bertugas sebagai warga pendidik sememangnya perlu diberikan insentif dan peruntukan tambahan bagi membantu mereka menampung kekurangan dihadapi dalam kehidupan seharian.

“Ada di antara mereka ini memerlukan pembantu untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Ia penting misalnya jika guru itu ialah seorang yang buta, tapi dia boleh bekerja dan berkelulusan.

“Jadi dalam isu ini, tentu dia perlukan peruntukan yang lebih daripada orang biasa yang lain,” jelas beliau.

Sementara itu, Tokoh Guru Cemerlang OKU Kebangsaan 2010, Mohd Huzaire Ahmad berkata, kerajaan seharusnya menetapkan dasar agar seorang guru OKU ditempatkan di setiap sekolah di Malaysia.

Jelas beliau, selain dapat membuka mata masyarakat terhadap potensi dan keupayaan OKU untuk menyumbang kepada negara, langkah berkenaan juga mampu secara langsung mendidik generasi akan datang terhadap kepentingan kumpulan tersebut di Malaysia.

“Jadi murid boleh belajar secara terus sejak kecil lagi mengenai apa itu OKU dan didedahkan bahawa kumpulan ini juga ada kelebihan dan keupayaan masing-masing sama seperti orang normal.

“Dari situ, kita dapat membendung perspektif negatif yang lazimnya wujud terhadap kumpulan OKU dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Guru OKU Malaysia (GOM) berkata, terdapat seramai 1,079 guru OKU terlibat dalam sistem pendidikan negara ketika ini.

“Kerajaan ada tetapkan bahawa satu peratus golongan OKU boleh bekerja. Tapi saya rasa tidak sampai pun satu peratus lagi.

“Sebagai contoh, kita boleh lihat di sektor perkhidmatan awam lain pun kemudahan infrastruktur kadang-kadang masih bermasalah,” ujarnya.