Pingat perak dalam genggaman Khairi Adib

Khairi Adib - Foto Pesaka
Khairi Adib - Foto Pesaka
A
A
A

SEBUTIR pingat perak sudah pasti dalam genggaman skuad silat tanding negara pada Sukan SEA Hanoi 2021 apabila Muhammad Khairi Adib Azhar mara ke final setelah berjaya melepasi halangan di peringkat separuh akhir pada Sabtu.

Bertarung dalam kelas B Lelaki (50-55 kg) di Gimnasium Bac Tu Liem di sini, Khairi Adib mengesahkan slot ke saingan akhir selepas menumpaskan lawannya dari Thailand, Sabidee Salaeh, 49-36.

Namun nasib berbeza menimpa Mohammad Hazim Amzad apabila cabarannya dalam kelas C Lelaki (55-60 kg) tamat di peringkat separuh akhir apabila tumpas kepada pesilat Indonesia, Muhammad Yachser Arafa, 31-42 petang Sabtu.

Sementara itu, tiga lagi wakil negara menempah tempat ke separuh akhir selepas menumpaskan lawan masing-masing di peringkat suku akhir pada Sabtu.

Mohammad Amiruddin Adzmi mara dalam kelompok empat pesilat terbaik kelas H (80-85 kg) selepas mengalahkan lawannya dari Filipina Jhon Paul Acat dengan keputusan 69-50.

Muhammad Robial Sobri dan Siti Shazwana Ajak pula berada dalam kelas tersendiri untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Muhammad Robial mengesahkan kemaraannya selepas juri menghentikan pertarungan ketika beliau mendahului pencabarnya dari Laos Sengpheng Duang Vilai 70-28 manakala Siti Shazwana menumpaskan atlet Indonesia Selly Andriani 58-6.

Tujuh pesilat negara bakal bertarung di peringkat separuh akhir pada Ahad manakala saingan final akan berlangsung pada Isnin. - Bernama