Acara SCRF 2022 tangguh tiga hari susulan kematian Presiden UAE

Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan. - Gambar fail AFP
Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan. - Gambar fail AFP
A
A
A

SHARJAH - Semua aktiviti kebudayaan dan acara yang berkaitan dengan Festival Membaca Kanak-Kanak Sharjah (SCRF) 2022 ditangguhkan selama tiga hari susulan kemangkatan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan semalam.

Penganjur SCRF iaitu Pihak Berkuasa Buku Sharjah (SBA) mengumumkan perkara itu melalui satu notis dalam akaun Instagram mereka, pada Sabtu.

Menurut SBA, penangguhan itu berakhir Isnin depan.

"Hanya jualan dan pameran buku akan diteruskan. Semua acara dan aktiviti kebudayaan lain akan disambung semula pada Selasa, 17 Mei,” katanya.

Sheikh Khalifa, yang menyandang jawatan itu sejak 2004, mangkat pada usia 73 tahun selepas berehat lama akibat sakit.

Istiadat penghormatan terakhir Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mei.

SCRF 2022 berlangsung di Pusat Ekspo Sharjah di sini dari 11 hingga 22 Mei.

Bertema 'Mencipta Kreativiti,' festival itu menampilkan aktiviti pendidikan serta hiburan selain seminar intelektual dan kebudayaan.

Tahun ini, SCRF yang berlangsung selama 12 hari itu menawarkan lebih 1,900 aktiviti termasuk 1,140 yang membabitkan kanak-kanak, 120 aktiviti kebudayaan serta 130 persembahan artistik dan produksi teater. - Bernama