Harimau Muda selangkah ke separuh akhir

Antara aksi Harimau Muda ketika beraksi menentang Singapura di Stadium Thien Truong, Nam Dinh sebentar tadi. - Foto FAM
Antara aksi Harimau Muda ketika beraksi menentang Singapura di Stadium Thien Truong, Nam Dinh sebentar tadi. - Foto FAM
A
A
A

HARIMAU Muda selangkah ke separuh akhir temasya Sukan Sea Hanoi 2021 apabila mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Singapura sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, skuad kendalian Brad Maloney terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi tonggak serangan Luqman Hakim Shamsudin yang berpunca daripada kesilapan benteng Singapura.

Keselesaan pasukan Harimau Muda mendahului dengan satu gol bagaimanapun tidak kekal lama apabila Singapura mengejutkan mereka selang tiga minit dengan gol penyamaan oleh Nur Muhammad Shah Shahiran yang menewaskan Muhammad Azri Ab Ghani melalui rembatan luar kotak penalti.

Pasukan Malaysia kemudiannya terus bangkit memburu gol dan berpeluang sekali lagi mendahului perlawanan namun rembatan pemain tengah, Mukhairi Ajmal pada minit ke-25 berjaya diselamatkan penjaga gol Singapura, Zaiful Nizam Abdullah.

Hasrat Malaysia untuk menambah jaringan sebelum tamat babak pertama tidak berhasil apabila Zaiful Nizam sekali lagi bertindak cemerlang untuk menafikan situasi satu lawan satu bersama Luqman Hakim pada minit ke-31 sekaligus kedudukan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Skuad negara dilihat semakin mahu menggandakan serangan pada babak kedua bagi menambah jaringan dengan memasukkan Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Azfar Fikri bagi menggantikan Syahir Bashah dan Danial Asri.

Namun kelekaan Malaysia melakukan serangan dihukum apabila Singapura berjaya membolosi gawang gol negara hasil jaringan Harhys Rizal Gareth Ian pada minit ke-78.

Tersentak dengan gol tersebut, Malaysia terus menggandakan serangan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan melalui Muhammad Faiz Amer Runnizar yang menanduk masuk sepakan penjuru Mukahiri Ajmal pada minit ke-82 sekaligus kedudukan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad B-23 kini masih mendahului Kumpulan B dengan meraih enam mata setelah mengharungi tiga perlawanan.

Malaysia kini perlu menunggu keputusan perlawanan antara Thailand dan Kemboja malam ini yang mana sekiranya aksi tersebut tidak berakhir dengan keputusan seri, skuad Harimau Muda akan bakal mendapat satu slot ke separuh akhir

Bagaimanapun, sekiranya aksi Thailand dan Kemboja berkesudahan seri, skuad negara perlu mengelak daripada tewas di tangan Kemboja pada aksi terakhir kumpulan di gelanggang sama pada Isnin ini untuk mara ke peringkat seterusnya.