Kaki kanak-kanak 11 tahun tersepit eskalator

Anggota bomba berusaha memgeluarkan kaki mangsa yang tersepit di sebuah pusat membeli-belah di Alor Setar pada Sabtu. - Foto Bomba Alor Setar
Anggota bomba berusaha memgeluarkan kaki mangsa yang tersepit di sebuah pusat membeli-belah di Alor Setar pada Sabtu. - Foto Bomba Alor Setar
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan selepas tersepit pada eskalator di sebuah pusat membeli-belah di Alor Setar pada Sabtu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 petang berhubung kejadian yang berlaku di tingkat dua pusat membeli-belah itu.

Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Alor Setar telah dihantar ke lokasi.

"Kerja-kerja menyelamat dilakukan oleh anggota BBP Alor Setar bersama pihak penyelenggara pusat membeli-belah ini. Pada jam 3.15 petang, kaki kanak-kanak tersebut telah berjaya dikeluarkan," katanya.

Tambah kenyataan itu, rawatan awal diberikan oleh unit khas medik Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

"Mangsa telah dibawa ke Putra Medical Centre (PMC) oleh pihak pengurusan pusat membeli-belah tersebut," katanya.

Difahamkan mangsa ke pusat membeli-belah seorang diri kerana waris tidak kelihatan sewaktu kemalangan berlaku sehinggalah kanak-kanak tersebut dihantar ke hospital swasta.