Malaysia perlukan naratif ekonomi baharu: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Negara harus mempunyai naratif ekonomi baharu dengan konteks dan cabaran yang sesuai dalam dekad tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, ia berikutan tindakan kerajaan Pakatan Harapan merampas tampuk kekuasaan negara yang menyebabkan naratif ekonomi telah fokus kepada usaha membalas dendam individu tertentu kepada pemimpin-pemimpin UMNO.

“Sejak dari itu, negara telah kehilangan ‘the overarching narrative’ dalam pembangunan ekonominya. Konsultan-konsultan antarabangsa pula dibayar dengan harga yang keterlaluan untuk menghasilkan dasar yang jauh dari realiti kehidupan rakyat.

“Akhirnya, usaha murni Kerajaan Barisan Nasional untuk mengupayakan ekonomi rakyat Malaysia terbantut dan disisihkan. Negara kembali lesu dan hilang seri untuk menarik dan merebut peluang pada era globalisasi.

“Melalui respon rakyat kepada debat Anwar-Najib, sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat, telah jelas membuktikan bahawa Malaysia amat memerlukan naratif ekonomi baharu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, naratif baharu itu mesti berpaksikan kepada transformasi realistik institusi-institusi utama negara, termasuklah Syarikat-Syarikat Berkenaan Kerajaan (GLC) dan beberapa Kementerian berkaitan ekonomi.

Ujarnya, transformasi itu juga mesti bertujuan untuk memupuk semula kepercayaan dan mentransformasikan struktur ekonomi Malaysia agar tidak ditinggalkan negara seperti Indonesia dan Vietnam dalam dekad akan datang.

“Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan harus beransur-ansur mengutamakan lantikan berdasarkan kelayakan dan keupayaan ke dalam GLC dan beberapa Kementerian berkaitan ekonomi.

“Transformasi politik dan institusinya pula harus sentiasa ditingkatkan agar kepercayaan rakyat kepada ahli-ahli politik dan demokrasi sentiasa utuh,” jelasnya.

Tambah Ahmad Zahid, Debat di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah sekadar debat ‘suka-suka’.

“Rakyat Malaysia merindui naratif ekonomi yang berkisar tentang kehidupan mereka.

“‘Kek ekonomi Malaysia’ harus dibesarkan dan dibahagi-bahagi secara adil dan menyeluruh.

“Utamakan yang berprestasi dan berusaha. Bagi yang kurang berupaya pula, mereka perlu sentiasa dibantu mengikut keperluan semasa,” katanya.