KPWKM erat kerjasama dengan D11 Bukit Aman: Rina

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengeratkan kerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman dalam pemantapan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak dan wanita di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, beliau bersama Ketua Setiausaha serta Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengadakan perbincangan dengan Bahagian D11 pada Jumaat bagi meneruskan sesi libat urus dan kolaboratif berhubung perkara itu.

Menerusi perkongsian di Facebook, Rina berkata, perbincangan dimulakan dengan pembentangan modus operandi terkini Nur Alert dan statistik semasa berkaitan kanak-kanak hilang.

"Dalam pertemuan itu, saya memaklumkan bahawa kami telah menubuhkan Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak di Media Sosial yang bermatlamat untuk menggembleng tenaga pakar dari PDRM (Polis Diraja Malaysia), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan supaya memastikan keselamatan kanak-kanak di media sosial terpelihara,” katanya.

Menurut Rina, jawatankuasa itu merupakan platform untuk memantapkan usaha kerajaan dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak di media sosial dengan penganjuran kempen dan program advokasi.

Katanya, PDRM juga bersedia untuk bekerjasama dalam penggubalan Dasar Kanak-Kanak Negara yang kini sedang dilaksanakan bagi menggantikan dasar sedia ada dan ia turut menerima input daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Beliau berkata, PDRM juga menyatakan kesediaan untuk melatih Skuad Waja bagi membolehkan ia menjadi pasukan petugas pada peringkat pusat.

"Saya yakin idea ini amat baik dalam memperkasakan peranan Skuad Waja yang berperanan sebagai ejen antijenayah dalam komuniti bagi menangani isu-isu berkaitan keganasan terhadap wanita,” katanya. - Bernama