X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Sheikh Mohammed dilantik Presiden baharu UAE

Sheikh Mohammed dilantik secara rasmi sebagai Presiden baharu UAE menggantikan abangnya pada Sabtu. - Foto Agensi
A
A

ABU DHABI - Pemerintah de facto Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dilantik secara rasmi sebagai presiden baharu negara itu pada Sabtu sehari selepas kematian abangnya, Sheikh Khalifa pada usia 73 tahun.

Agensi berita WAM melaporkan pelantikan Putera Mahkota, Sheikh Mohammed, 61, atau juga dikenali sebagai MBZ sebagai pemerintah negara kaya minyak yang diasaskan bapanya pada 1971 itu dilakukan Majlis Tertinggi Persekutuan.

Pengumuman itu dibuat selepas MBZ bertemu dengan anggota majlis tersebut yang terdiri daripada pemerintah tujuh emiriah di negara berkenaan yang kini berkabung selama 40 hari bermula Jumaat.

Pengambilalihan tampuk pemerintahan itu dijangka banyak pihak memandangkan beliau telah menjalankan tugas rasmi mewakili abangnya sebelum ini.

Di bawah pentadbirannya, UAE yang berpopulasi 9.89 juta penduduk itu telah mencipta sejarah apabila berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas dan kenderaan robotik ke planet Marikh selain membuka reaktor pertama serta menggunakan pengaruhnya untuk membangunkan dasar luar yang lebih tegas.

MBZ yang bersekutu rapat dengan Arab Saudi telah muncul sebagai pemimpin Asia Barat yang disegani dan mengurangkan 'campur tangan' Amerika Syarikat (AS) serta menormalkan semula hubungan dengan Israel yang mengundang reaksi pelbagai pihak. - AFP


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!