X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Harga durian dijangka naik sekali ganda

Harga jualan durian pada musim kali ini dijangka meningkat sekali ganda disebabkan hasil berkurangan berbanding tahun sebelum ini. - Gambar hiasan
A
A

JASIN - Harga jualan durian pada musim kali ini dijangka meningkat sekali ganda disebabkan hasil berkurangan berbanding tahun sebelum ini, namun permintaan tinggi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, penggemar durian di negara ini perlu bersedia dengan kemungkinan kenaikan yang tidak dapat dielakkan kerana beberapa faktor termasuk cuaca hujan berpanjangan hingga memberi impak kepada pengeluaran durian.

Menurutnya, kenaikan seperti dari RM30 hingga RM40 sekilogram bagi durian musang king kepada RM60 hingga RM80 sekilogram itu juga disebabkan kos baja yang meningkat selain masalah kekurangan pekerja di ladang.

Katanya, berdasarkan maklum balas persatuan penanaman durian telah memberi bayangan mengenai kenaikan tersebut terutama durian popular seperti musang king dan duri hitam.

"Persatuan memaklumkan akan menaikkan harga durian, tetapi kita tidak tahu berapa. Ada juga negeri yang melaporkan lebih 50 peratus kekurangan durian disebabkan cuaca.

"Jadi ia memberi kesan kepada pembungaan dan pendebungaan kerana apabila hujan lebat bunga akan gugur, sebab itu jangkakan pengeluaran berkurangan," katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Jasin dan MAFI di Umbai di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razali.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, ada ahli persatuan yang memberi gambaran bahawa kenaikan itu boleh mencecah sehingga RM100 sekilogram.

"Biarpun buah-buahan tiada harga kawalan, tetapi kita jangan membebankan pengguna dengan harga tinggi," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!