YPM salur RM3.8 juta bantu 30,000 pelajar B40

Bantuan yang telah diagihkan ini secara one-off dalam bentuk kewangan, barangan dan juga kelengkapan persekolahan

Mahdzir (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.
Mahdzir (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyalurkan sebanyak RM3.8 juta bantuan persekolahan kepada pelajar kumpulan B40 pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan tersebut telah memberikan manfaat kepada lebih 30,000 pelajar kumpulan B40 di seluruh negara.

Menurutnya, YPM merupakan satu badan organisasi yang mempunyai skim bantuan memfokuskan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

"Bantuan ini diagihkan secara 'one-off' dalam bentuk kewangan, barangan dan juga kelengkapan persekolahan," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.

Pada majlis tersebut, Mahdzir menyampaikan bantuan persekolahan kepada 200 pelajar kumpulan B40 bagi daerah Padang Terap dengan nilai bantuan berjumlah RM20,000.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, yayasan tersebut mempunyai tiga bentuk Skim Bantuan Persekolahan yang digerakkan secara berkala.

Skim tersebut ialah Skim Bantuan Persekolahan (SBP) YPM bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan Rakan Strategik, Skim Bantuan Khas Persekolahan (SBKP) dan Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP).

"Program bantuan ini diadakan secara berterusan tidak kira di mana tempat. YPM akan turun jika ada laporan sekolah atau pejabat pendidikan daerah meminta kita salurkan bantuan mahupun sumbangan," katanya.

Untuk rekod, tahun lalu YPM menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah lebih RM4.1 juta kepada 53,741 pelajar B40 di seluruh negara.